Perak Nafi Lulus RM30 Juta Untuk Pembangunan Kampung Baru Cina

IPOH, 12 Sept – Kerajaan Negeri Perak tidak pernah meluluskan peruntukan berjumlah RM30 juta bagi tujuan pembangunan Kampung Baru Cina seperti didakwa seorang aktivis badan bukan kerajaan (NG0).

Tegas Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad, ia adalah inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Kampung Baru Cina, termasuk menaik taraf kemudahan seperti jalan dan longkang.

“Merujuk kepada satu klip video memaparkan kenyataan seorang aktivis NGO yang mengeluarkan kenyataan berbaur pembohongan kononnya Kerajaan Perak tahun lalu telah meluluskan RM30 juta bagi tujuan pembangunan Kampung Baru Cina.

“Lebih teruk lagi, apabila aktivis berkenaan ketika berkongsi pentas bersama pimpinan parti politik pembangkang, mereka-reka cerita kononnya Kerajaan Negeri Perak meluluskan peruntukan tersebut selepas menerima desakan politik,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Justeru, Saarani meluahkan kekesalannya apabila aktivis berkenaan membuat kenyataan di pentas politik dengan sengaja mengeluarkan kenyataan terpesong sehingga mengundang salah tanggapan rakyat terhadap kerajaan negeri.

“Paling menggusarkan apabila sebahagian netizen menelan bulat-bulat kenyataan yang dibuat sehingga melemparkan pelbagai persepsi negatif dan komen jelik lalu mengakibatkan perdebatan bermotif kaum di laman sosial.

“Untuk rekod, jika KPKT diberi tanggungjawab membangunkan infrastrukur kampung Kampung Baru Cina, Kerajaan Persekutuan melalui pelbagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pula berperanan membangunkan kemudahan kawasan luar bandar,” katanya lagi.

Jelasnya sebagai contoh pada 2023, Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM2.55 bilion bagi menyediakan pelbagai kemudahan di kawasan desa termasuk pembinaan jalan baharu, bekalan air dan elektrik serta menaiktaraf jambatan dan membaik pulih jalan rosak.

Katanya lagi, kerajaan negeri mengalu-alukan wacana dan perbincangan sihat, tetapi biarlah ia dilakukan atas prinsip kebenaran dan bukannya dengan membuat ulasan secara membuta tuli dengan memesong fakta atau mereka-reka cerita untuk menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.