Jaga Batas Yang Dipersetuju… Sama-Sama Kukuhkan Kerajaan Perpaduan – ABATA
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Sarfarizmal Saad melihat selepas pembentukan kerjasama antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan dan beberapa parti lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan, kegelisahan dalam kestabilan politik tanah air makin surut.
Menurut beliau tahun pertama kerjasama menerusi Kerajaan Perpaduan menampakkan masih ada penolakan yang berpaksikan kepada ideologi politik Dap dan perkara berkenaan terus ditohmah daripada dipalitkan kepada UMNO/BN.
“Namun selepas usia kerjasama ini makin menua, keeratan sesama ahli dan pendokong Kerajaan Perpaduan makin mengukuh. Keakraban antara parti ini membuahkan kestabilan politik yang jitu sehingga impaknya dapat dirasai melalui penerimaan para pengundi terhadap imej dan nama Kerajaan Perpaduan ini.
“Untuk rekod, sembilan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijalankan selepas tertubuhnya kerjasama ini menyaksikan 67 peratus telah dimenanggi oleh calon-calon mewakili Kerajaan Perpaduan.
“Sedihnya, momentum baik ini sedikit tercalar apabila terdapat beberapa figura yang menimbulkan isu sedangkan sudah dimeterai sejak awal lagi bahawa setiap parti yang bersama di dalam Kerajaan Perpaduan ini tidak boleh menyentuh apa jua perkara melibatkan sensitiviti agama dan bangsa,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.
Kata beliau lagi, sewajarnya setiap pemimpin dan ahli parti yang mendokong Kerajaan Perpaduan dapat menjaga batasan yang telah dipersetujui bersama, dan mengelak daripada bersifat sebagai pelampau perkauman.
“Seandainya masih ada mana-mana pemimpin atau ahli parti yang bersifat pelampau, maka mereka harus dipertanggungjawabkan sebagai perosak kepada kestabilan politik yang sedang mengorak maju di bawah konsep ‘Malaysia Madani’ hari ini,” tambahnya. – UMNO Online