GISBH: Dr Akmal Gesa Kerajaan Haramkan Pertubuhan, Beri Hukuman Berat

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa kerajaan untuk mengharamkan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) sekiranya kontroversi mengenai pertubuhan tersebut adalah benar.

Tegasnya, kerajaan juga perlu memberikan hukuman yang berat kepada si pelaku sekiranya didapati bersalah.

“Jika benar ini berlaku maka kerajaan dah boleh haramkan pertubuhan ini dan hukuman yang paling berat perlu diberikan kepada si pelaku.

“Mohon kepada sesiapa mempunyai maklumat ataupun berada di dalam situasi yang sama tentang perkara menyesatkan sebegini agar tidak takut memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

“Kita mohon juga kepada pihak berkuasa untuk rempuh dan siasat di setiap cawangan mereka dan pastikan perkara ini tidak berlaku di tempat lain juga. Perkara ini bukan islam,ini dah ajaran syaitan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Pada Rabu media melaporkan siasatan polis mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal dikaitkan GISBH adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Dalam Op Global dijalankan antara jam 6-11 pagi semalam, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.