Pemuda UMNO Terbuka Dalam Berkawan, Tapi Jangan Sentuh Isu 3R – Mohamad Fadil

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin mengingatkan semua pihak untuk tidak menyentuh isu 3R (raja, agama, bangsa).

Ini kerana katanya, Pergerakan Pemuda UMNO terbuka untuk ‘berkawan’ dengan mana-mana pihak dengan syarat isu yang melibatkan sensitiviti terutamanya 3R tidak diganggu.

“Dari awal lagi kami telah menyatakan pendirian kami selaku Pergerakan Pemuda UMNO, bahawasanya kami boleh berkawan dengan sesiapa sahaja kerana kami cukup terbuka.

“Tetapi apabila soal agama, bangsa, Raja-Raja Melayu dan kedaulatan tanah air ini, kami tidak akan sesekali berdiam diri. Kami akan bertindak balas kepada siapa sahaja yang menyentuhnya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa kenyataan rakan dari komponen Kerajaan Perpaduan mengenai isu halal tidak sepatutnya berlaku kerana ia amat sensitif untuk umat Islam.

“Prinsip kami mudah dan jelas. Jangan mulakan. Sekiranya dimulakan, bersiap sedia dengan tindak balas dari Pergerakan Pemuda UMNO kerana kami tidak akan sesekali berdiam diri.

“Mohon untuk beri kefahaman kepada pihak terbabit tentang apa perbezaan antara adab dan biadap kerana beliau tiada hak untuk bercakap soal halal,” katanya lagi.

Isu halal ini tercetus apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengeluarkan kenyataan mengenai beberapa buah rangkaian makanan besar terkenal disahkan tidak mempunyai sijil halal meskipun telah bertapak di negara ini sejak sekian lama.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor memberi amaran agar cadangan mewajibkan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan di negara ini tidak dipersoalkan secara terbuka kerana tindakan sedemikian hanya akan ‘merosakkan’ kestabilan dan keharmonian negara.

Ujarnya, sentimen setiap masyarakat perlu dijaga dan sewajarnya setiap pandangan berkaitannya dibawa untuk diperbincangkan supaya ia dapat diteliti. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit