Lawatan Kerja: Mohamad Ke Turkmenistan, Pertingkat Hubungan Pelbagai Bidang

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan telah ke Turkmenistan untuk lawatan kerja rasmi bagi mempertingkat hubungan kedua-dua negara dalam pelbagai bidang pada Isnin.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa hubungan perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertanian, produk halal dan kerjasama teknikal menjadi fokus utama untuk lawatan kerja rasmi ini.

“Alhamdulillah, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat, Turkmenistan bagi rangka lawatan kerja rasmi selama dua hari di sini. Ketibaan saya disambut oleh Timbalan Menteri Luar Negeri Turkmenistan, TYT Ahmet Gurbanov bersama Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan, TYT Ambassador Mohd Suhaimi Ahmad Tajuddin.

“Sejurus tiba, kami terus mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawat dari Turkmenistan, TYT Rashid Meredov yang juga merupakan Timbalan Presiden Republik Turkmenistan.

“Kami membincangkan cara untuk mempertingkatkan lagi hubungan kedua-dua buah negara dalam berbagai bidang khususnya perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertanian, produk-produk halal dan bantuan kerjasama teknikal,” katanya.

Menurutnya, Turkmenistan menyanjung tinggi persahabatan terjalin dan mereka dijadualkan bakal mengadakan lawatan ke Malaysia pada Disember ini.

“Untuk rekod, pada tahun 2023, Republik Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Asia Tengah.

“Negara Turkmenistan amat menyanjung tinggi persahabatan yang telah terjalin dengan Malaysia dan ingin mengeratkan lagi hubungan ini dengan hasrat TYT Serdar Berdimuhamedov, mengadakan lawatan ke Malaysia pada bulan Disember ini, Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengunjungi kedutaan Malaysia di Turkmenistan dan mengharapkan agar mereka melaksanakan tanggungjawab dengan baik di samping menjaga nama baik negara.

“Rangka kerja hari kedua di Turkmenistan dimulakan dengan mengunjungi Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat.

“Turut bersama saya, TYT Ambassador Mohd Suhaimi Ahmad Tajuddin, Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan serta para pegawai dari Kementerian Luar Negeri.

“Telah juga titip pesan agar semua sentiasa menjaga nama baik Malaysia selain memikul tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik,” katanya lagi.

Untuk rekod, beliau mengadakan lawatan rasmi ke Turkmenistan untuk menyerahkan surat jemputan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada TYT Serdar Berdimuhamedov bagi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada Disember tahun ini.

Lawatan rasmi tersebut turut didahului dengan Mesyuarat Konsultasi Dua Hala Kelima Malaysia dan Turkmenistan di peringkat Pegawai Kanan pada 9 September 2024. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.