Kerjasama Jentera Main Peranan Kekalkan Kemenangan BN Di PRK Mahkota

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abd Rahman menyifatkan kerjasama berpasukan jentera UMNO memainkan peranan penting bagi mengekalkan kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Beliau berkata ia di tambah apabila Johor sebagai merupakan kubu kuat UMNO yang sudah pastinya memberi kelebihan pada PRK kali ini.

“Johor merupakan kubu kuat UMNO dari dulu lagi dan melihat daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, Mahkota merupakan kerusi UMNO yang agak selesa kemenangannya.

“Sudah pasti UMNO ingin mengekalkan kerusi ini dan akan kerja keras untuk memastikan kita menang balik kerusi DUN Mahkota,” katanya ketika dihubungi UMNO Onlina.

Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata momentum kemenangan UMNO/BN pada PRK Nenggiri dan juga semangat kesepaduan dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 juga sudah pastinya membawa manifestasinya tersendiri dalam mengekalkan penguasaan parti keramat ini di Mahkota.

Dalam pada itu, kata beliau usaha untuk menarik sokongan anak muda perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan menyampaikan aspirasi calon dan kerajaan negeri bagi manfaat mereka.

“Melihat daripada semangat Nenggiri, kerjasama berpasukan antara UMNO di dalam bahagian tersebut, negeri dan bahagian angkat angkat yang hadir serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi saya percaya kalau kerja berpasukan ini boleh dikekalkan seperti mana kita buat di Nenggiri tidak ada sebab kita boleh kalah di Mahkota.

“Sudah tentu harapan nak menang dengan bergaya di Mahkota dan yang paling pentingnya nak melihat bagaimana undi-undi anak muda dapat kita kembalikan dengan secara yang lebih besar seperti mana kita dapat di Nenggeri,” ujar beliau.

Untuk rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September, dengan penamaan calon pada 14 September dan pengundian awal pada 24 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.