Kejayaan UMNO/BN Di PRK DUN Nenggiri Jadi Inspirasi Untuk DUN Mahkota – Fikhran Hamsi
KUALA LUMPUR, 11 Sept – Pemuda UMNO menyambut baik calon Barisan Nasional (BN) yang diketengahkan oleh parti bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah selepas kejayaaan merampas kembali DUN Nenggiri pada PRK baru-baru ini.
Exconya, Fikhran Hamsi Mohamad Fatmi berkata kejayaan bersama hasil muafakat serta kerjasama seluruh jentara parti sudah pasti akan dibawa ke DUN Mahkota selepas ini dalam usaha membantu kemenangan Syed Hussien selaku calon BN.
“Kami yakin dan percaya gerak kerja calon BN bakal membantu parti dan kita mohon serta menyeru jentera BN pelbagai peringkat sama-sama turun berkempen dan memenangkan Syed Hussien.
“Kepada seluruh jentera BN yang bakal turun di DUN Mahkota, Pemuda UMNO mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan terutamanya Wanita, Puteri dan juga bahagian-bahagian UMNO Negeri yang bakal berkampung di Mahkota. Sama-sama kita angkat kembali parti dan sama-sama kembalikan kepercayaan rakyat pada BN dan UMNO.
“’Wave’ yang dibawa oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mula memikat hati orang muda dan Pemuda UMNO yakin gelombang di DUN Mahkota ini terus disambung bagi meraih sokongan pengundi,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Fikhran yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pucuk pimpinan parti kerana membawa panji perjuangan BN.
“Pemuda UMNO menzahirkan penghargaan terutamanya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan tertinggi parti yang telah memberikan kepercayaan sekali lagi pada orang muda bagi PRK N29 DUN Mahkota.
“Tidak ketinggalan juga terima kasih pada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Kluang kerana beri kepercayaan dan sokongan pada Pemuda UMNO untuk bertanding PRK ini,” katanya lagi.
Seterusnya Fikhran juga mengingatkan UMNO/BN agar jangan terlalu selesa dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, walaupun ada keyakinan bahawa sokongan daripada Pakatan Harapan (PH) boleh membawa kemenangan besar.
“Sudah pasti UMNO/BN tidak boleh duduk dalam keadaan selesa dan melihat pada ‘numbers’ PRN lepas sekiranya ditambah undi PH maka akan menang besar, tapi harus diingat jangan kita duduk dalam keadaan selesa kerana politik sekarang amat dinamik.
“Rakyat mungkin menyokong BN pada PRN lepas tapi belum tentu rakyat dan pengundi yang sama menyokong kita. UMNO/BN harus optimis dan menang di DUN Mahkota, gerak kerja kempen jangan sambil lewa, perkuatkan serta kembalikan kepercayaan rakyat terutamanya pada UMNO/BN bagi memastikan pengundi-pengundi keluar mengundi,” katanya lagi.
Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.
Pada PRN Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH), selepas menang dengan majoriti 5,166 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September ini. – UMNO Online