Isu Halal: Tanggungjawab Pihak Restoran ‘Target Market’ Orang Islam

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nur Ellena Mohamed Razif berpandangan bahawa persijilan halal merupakan tanggungjawab pihak restoran yang menyasarkan pelanggan di kalangan orang Islam.

Tegasnya, pihak lain tidak perlu mencampuri urusan tersebut dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mampu mengguris hati majoriti umat Islam di negara ini.

“Pihak lain tidak perlu mencampuri urusan proses persijilan halal bagi restoran-restoran di Malaysia yang menjual makanan kepada umat Islam.

“Tanggungjawab ini seharusnya dipikul pihak restoran yang mahukan ‘target market’ di kalangan orang Islam dan bukan memikirkan keuntungan semata-mata,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ujarnya, restoran-restoran yang tidak mendapat persijilan halal tersebut telah lama menapak di Malaysia dan datang dari syarikat besar.

“Lebih memusykilkan, restoran-restoran ini kebanyakannya merupakan rangkaian restoran besar dan sudah berpuluh tahun bertapak di Malaysia.

“Restoran kecil dan sederhana juga mampu untuk mendapatkan status halal, jadi apa alasan restoran-restoran yang besar dan gah ini?” katanya.

Pada Selasa UMNO Online melaporkan, Pergerakan Puteri UMNO menyokong penuh untuk Malaysia menjadi hub halal terbesar bagi seluruh asia.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, kenyataan segelintir pihak mengenai isu halal ini mampu menggugat keharmonian dan perpaduan dalam negara sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor memberi amaran agar cadangan mewajibkan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan di negara ini tidak dipersoalkan secara terbuka kerana tindakan sedemikian hanya akan ‘merosakkan’ kestabilan dan keharmonian negara.

Ujarnya, sentimen setiap masyarakat perlu dijaga dan sewajarnya setiap pandangan berkaitannya dibawa untuk diperbincangkan supaya ia dapat diteliti. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.