Van ‘Justice On Wheels’ Sampaikan Sistem Keadilan Untuk Pelbagai Lapisan Rakyat

KLUANG, 10 Sept – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini berbesar hati merasmikan van ‘Justice On Wheels’ sebagai usaha kerajaan menyampaikan akses sistem keadilan untuk segenap lapisan rakyat.

Beliau berkata van tersebut akan berada di kawasan-kawasan awam yang mudah diakses oleh orang ramai bagi memberi ruang kepada mereka untuk mendapatkan nasihat guaman secara percuma.

“Van ini bukan kosong ada peguam kerana mereka dalam kategori professional bukan murah dan itu satu cabaran.

“Cabaran seterusnya ialah bagi kerajaan Madani, kita mahu supaya rakyat tahu hak sisi undang-undang. Khidmat peguam yang disediakan ini percuma tapi kena kepada yang tak mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Jiwa Merdeka ‘Justice On Wheels’ Jabatan Bantuan Guaman di Dewan Dato’ Sharifah Azizah Taman Ilham di sini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin; ADUN Layang-layang, Abd Mutalip Abd Rahim; ADUN Penawar, Fauziah Misri.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia dalam pada itu berkata penggunaan van ini sangat praktikal apabila rakyat tidak perlu lagi ke Jabatan Bantuan Guaman yang ada di bangunan kerajaan.

Kata beliau lagi, komitmen ini sekaligus memperlihatkan usaha kerajaan dalam memberikan bantuan perundangan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Beza sekarang, kami tak tunggu anda pergi ke Jabatan Bantuan Guaman tetapi kami pergi kepada anda hebatnya kerajaan Madani ni dengan meletakkan semua kerjaya-kerjaya kami adalah untuk rakyat.

“Masalah yang kami lihat juga di luar sana, kawasan kita memang besar nak pergi ke ibu negeri macam orang kata Kluang nak pergi ke Iskandar bukan dekat

“Sebab Jabatan Bantuan Guaman ini di semua dekat bangunan Persekutuan Negeri-Negeri. Itu sebabnya kerajaan Madani hari ni, kita bawa peguam-peguam Bantuan Guaman kepada anda,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit