Terapkan Perpaduan Dalam Islam Walau Berbeza Pandangan – Siti Aminah
LAHAD DATU, 10 Sept – Ketua Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Siti Aminah Aching mengingatkan umat Islam untuk kekal bersatu walaupun berbeza pandangan kerana inilah sifat yang boleh memajukan diri, negeri dan negara.
Beliau berkata, umat Islam tidak boleh terlalu taksub dengan pandangan masing-masing dan mengamalkan sikap berpuak-puak dalam sesebuah organisasi apatah lagi yang berteraskan Islam sebagai perjuangan.
“Jika perkara ini menjadi amalan ianya adalah satu fenomena yang kurang sihat dan boleh membawa perpecahan bukan sahaja dikalangan ahli malah umat Islam secara keseluruhannya,“ katanya ketika berucap pada Majlis Jelajah Ramah Mesra Wanita USIA bersama Wanita Usia Lahad Datu kelmarin.
Siti Aminah yang kini dalam siri jelajah Ramah Mesra Wanita USIA pusat juga meneruskan usaha tersebut ke daerah Kunak, Tungku Semporna dan Tawau.
Menurut Siti Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort institusi USIA yang memperjuangkan dakwah perlu dipertahankan daripada menjadi gelanggang politik mana-mana pihak.
“Kita mempunyai pandangan dan idelogi politik masing-masing namun dalam USIA yang memperjuangkan dakwah sebagai keutamaan perlu dipertahankan sebagai badan agama tanpa mencampur aduk kepentingan lain demi menegakkan syiar islam,“ katanya.
Menurut beliau, perpaduan merupakan satu sumber kekuatan dalam masyarakat maka perlu terus diaplikasi.
“Umat Islam khususnya harus melihat isu perpaduan ini sebagai satu perkara yang perlu diutamakan kerana Islam itu sendiri merupakan agama yang menekankan kepada aspek keamanan, persefahaman serta rasa cinta dalam kalangan umatnya dan manusia sejagat amnya.
“Sebagai ahli marilah kita sama-sama mengelakkan perbalahan dan persengketaan yang akan merugikan umat Islam itu sendiri. Seharusnya perpaduan ummah tidak berdepan dengan halangan kerana umat Islam mempunyai asas yang paling kuat dalam mengekalkan kesatuan dan kebersamaan dalam kalangan umatnya,” katanya.
Siti Aminah berharap agar unsur-unsur perbezaan yang boleh membawa kepada persengketaan dan permusuhan juga diuruskan dengan sebaiknya agar tidak menjadi satu barah yang kemudiannya akan membinasakan perpaduan yang boleh merosakkan imej Islam.
“Justeru, adalah amat penting untuk kita memupuk rasa kasih sayang dan kebersamaan agar keutuhan ikatan persaudaraan ini mampu menjelmakan rasa hormat oleh masyarakat lain terhadap Islam dan kepimpinan yang diterajui oleh umat Islam itu sendiri.
“ Kesannya nanti, Islam akan dilihat sebagai satu agama dan sistem kehidupan yang berupaya menyatukan umatnya atas dasar kekuatan ikatan akidah dan nilai-nilai murni yang ada padanya,” katanya.
Hadir sama di majlis tersebut Ketua USIA Bahagian Lahad Datu, Datuk Mazlan Datu Ibrahim; Ketua Wanita USIA Bahagian Lahad Datu, Zaleha Iskandar dan Ketua Wanita USIA Bahagian Tungku, Datin Saloma Mohd Yusof Amat Jamlee. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid