Semua Pihak Perlu Faham Sensitiviti Agama, Tangani Dengan Bijaksana
KUALA LUMPUR, 10 Sept – Semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan perlu memahami bahawa sensitiviti agama adalah perkara yang harus dihormati dan menangani segala permasalahan dengan bijak.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Afzan Manaf berkata, tindakan segelintir pihak yang mengambil pendekatan ‘play victim’ dalam isu halal ini tidak sewajarnya berlaku.
“Saya tertarik dengan tindakan segelintir pihak yang secara sengaja mengambil pendekatan ‘play victim’ apabila berdepan dengan kritikan terhadap isu berhubung sijil halal.
“Pendekatan ini jelas menunjukkan keengganan mereka untuk berdepan dengan persoalan asas mengenai kewajaran seorang ahli politik bukan Islam, mengulas mengenai hal-hal sensitif berkaitan sijil halal yang merupakan isu penting bagi umat Islam di Malaysia.
“Sebagai pemimpin dalam parti yang sering mendakwa diri sebagai inklusif dan memahami sensitiviti kaum serta agama, sikap lebih menumpukan kepada naratif bahawa mereka sering diserang secara tidak adil menunjukkan keengganan memberi jawapan jelas,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, tindakan tersebut tidak membantu dalam membina persefahaman dan menambah kekeliruan antara kaum serta agama di Malaysia.
“Pendekatan ‘play victim’ ini tidak membantu dalam membina persefahaman antara kaum dan agama di Malaysia. Sebaliknya, ia hanya menambah kekeliruan dan menimbulkan lebih banyak soalan tentang pendirian mereka dalam hal-hal yang menyentuh sensitiviti umat Islam.
“Perlu diingat bahawa sijil halal bukan sekadar isu teknikal, tetapi ia melibatkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat Muslim terhadap produk yang mereka gunakan.
“Mereka juga jelas tidak matang dan biadap apabila tidak menghormati teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak lagi mengeruhkan keadaan serta tidak berbincang tentang perkara sebegini secara terbuka,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menggesa pihak tersebut untuk tampil memberikan jawapan yang lebih bertanggungjawab.
“Justeru itu, saya menggesa pihak tersebut untuk berhenti daripada menggunakan taktik mengelak ini, dan sebaliknya tampil dengan jawapan yang bertanggungjawab.
“Mereka perlu menjelaskan apakah pendirian sebenar mengenai peranan yang sepatutnya dimainkan oleh ahli politik bukan Islam dalam isu yang melibatkan agama Islam. Keengganan untuk berbuat demikian hanya akan terus mengikis kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Madani.
“Adalah penting untuk setiap ahli politik memahami bahawa sensitiviti agama adalah perkara yang harus dihormati dan sebarang kenyataan atau tindakan yang menyentuh isu-isu agama perlu ditangani dengan teliti serta bijaksana,” katanya lagi. – UMNO Online