PRK Mahkota: UMNO Tidak Ketandusan Pemimpin, Syed Hussien Sambung Legasi – Saiful Fariddil

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perlis menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan sekali lagi diberikan kepada calon daripada Pemuda UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, susulan PRK DUN Nenggiri.

Ketuanya, Saiful Fariddil Jasmi berkata keputusan memilih Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon untuk mempertahankan kerusi DUN Mahkota ini adalah tepat.

Katanya, beliau telah lama berkhidmat bersama Pemuda UMNO di kawasan tersebut dan mempunyai hubungan rapat dengan golongan muda di Kluang.

“Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah merupakan calon yang tepat untuk mempertahankan DUN Mahkota kerana beliau telah lama berkhidmat bersama Pemuda UMNO di kawasan ini.

“Beliau juga merupakan pemimpin yang sangat dekat dikalangan anak-anak muda dan mudah untuk didekati di Kluang. Ini demi memastikan BN sekali lagi dapat berkhidmat dengan baik kepada rakyat di Mahkota dan meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

“Pemilihan beliau juga membuktikan bahawa Pemuda UMNO pada hari ini yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tidak ketandusan pemimpin pelapis yang terbaik demi mengembalikan kekuatan parti pada masa hadapan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Terdahulu, Syed Hussien diumum sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.

Pada PRN Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH), selepas menang dengan majoriti 5,166 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.