PRK Mahkota: Annuar Musa Perlu Yakinkan PN Untuk Tidak Bertanding

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa perlu meyakinkan parti tersebut untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Iszuwan Ismail berkata, langkah tersebut wajar dilakukan memandangkan beliau meramalkan Barisan Nasional (BN) yang bersama Kerajaan Perpaduan akan menang besar pada pilihan raya tersebut.

“Keyakinan Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini bahawa BN yang turut bersama Kerajaan Perpaduan akan menang besar di PRK DUN Mahkota, Kluang amat mengejutkan.

“Sekiranya benar perkiraan Tan Sri Annuar Musa, maka sewajarnya tugas beliau seterusnya sebagai Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya ialah meyakinkan kepimpinan PN untuk menarik diri daripada bertanding.

“Langkah ini akan dianggap amat bijak kerana bakal menjimatkan masa dan sumber khususnya wang ringgit sekiranya pilihan raya yang sepatutnya dijangka sengit diteruskan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar keputusan PRK DUN Nenggiri memberi pedoman kepada Annuar mengenai kekuatan sebenar PN.

“Semoga keputusan di Nenggiri berjaya membuatkan Tan Sri Annuar Musa bermuhasabah mengenai kekuatan sebenar PN. Terutamanya mengenai pengakuan beliau yang membenarkan bahawa keangkuhan Pas mengenepikan perasaan PPBM di Nenggiri.

“Perkara tersebut merupakan antara punca kekalahan dan menjadi satu pedoman bagi mendorong kepimpinan PN untuk mengambil nasihat Tan Sri Annuar Musa secara serius, sekaligus menarik diri daripada bertanding di DUN Mahkota,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan Annuar telah meramalkan kemenangan BN di kerusi DUN Mahkota tersebut dengan majoriti melebihi 20,000 undian.

Menurut Annuar lagi, kejayaan tersebut adalah manifestasi kecemerlangan jajaran baharu BN bersama Kerajaan Perpaduan.

Pada Sabtu, media melaporkan Syed Hussien Syed Abdullah diumum sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 27 September. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.