Kemelut Bola Sepak Kedah: UMNO Negeri Kecewa Sikap MB

KUALA LUMPUR, 10 Sept – UMNO Kedah mengecam sekeras-kerasnya sikap Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merangkap Presiden KFA yang dilihat mengambil sikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab berhubung isu pasukan bola sepak negeri berkenaan.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata pihaknya yakin dan percaya keputusan menswastakan bola sepak negeri tanpa strategi perniagaan yang berfokus dan pendekatan yang betul sudah tentunya akan memberi kesan yang sangat besar terhadap pasukan utama yang sedia ada.

“UMNO Kedah sendiri sangsi apakah fungsi Exco Kerajaan Negeri dan CEO KFA sendiri dalam Ahli Lembaga Pengarah syarikat tanpa penglibatan mana-mana anak syarikat kerajaan negeri.

“Persoalannya kenapa Selangor yang turut mengikut format AFC dan FAM boleh beroperasi dengan baik tanpa sebarang gangguan permasalahan kewangan?

“Selangor misalnya mempunyai penglibatan anak syarikat kerajaan negeri yang mampu membantu walaupun tidak mempunya penganggan seratus-peratus dalam syarikat?” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama tegas Shaiful yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok, UMNO Kedah juga mendesak agar Presiden KFA yang juga Menteri Besar mengambil tanggungjawab bagi menyelesaikan permasalahan ini.

“UMNO Kedah juga kecewa dengan bekas-bekas lagenda ‘Hijau Kuning’ yang menganggotai kerajaan pada waktu dan ketika ini hanya berpeluk tubuh seolah-olah akur dengan penganiayaan yang sedang dilakukan oleh Presiden KFA merangkap Menteri Besar Kedah itu

“UMNO Kedah juga menyifatkan kenyataan Menteri Besar yang mempertikaikan sistem bolasepak negara yang diterajui FAM sebagai satu usaha ‘mengubah tiang gol’ bagi menutupi kelemahan diri sendiri. UMNO Kedah berpandangan kejayaan dan kelancaran syarikat lain di negeri-negeri khasnya Selangor haruslah dicontohi dan dijadikan panduan,” ujarnya.

Jesteru tegas beliau UMNO Kedah menyeru agar semua pencinta bola sepak negeri, kelab- kelab penyokong dan anak-anak muda negeri ini memohon agar Menteri Besar segera masuk campur bagi menyelesaikan kemelut kewangan yang semakin meruncing ini.

“UMNO Kedah berpandangan, kegemilangan dan kehebatan bola sepak negeri yang turut menjadi sukan kegemaran rakyat Kedah ini akan terus terkubur sekiranya tiada sebarang tindakan diambil,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit