Bapa Syed Hussien Meninggal Dunia, UMNO Rakam Takziah

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan dan ahli-ahli UMNO mengucapkan takziah kepada keluarga calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah yang telah kehilangan bapanya, malam ini.

Dilaporkan Allahyarham Syed Abdullah Syed Hamid, 67, meninggal dunia selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Johor.

Menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, Ahmad Zahid yang dalam lawatan ke China mengucapkan takziah kepada Syed Hussien.

“Sesungguhnya kami milik ALLAH dan kepada-Nya kami kembali. Menerima perkhabaran duka ayahanda kepada Saudara Syed Hussien, Calon Barisan Nasional bagi PRK N.29 Mahkota telah kembali ke rahmatullah.

“Semoga beliau sekeluarga tabah dan cekal menghadapi ujian ini serta dipermudahkan segala urusan.

“Marilah bersama kita berdoa semoga Allahyarham Syed Abdullah bin Syed Abdul Hamid tergolong dalam kalangan insan soleh dan beroleh jannah,” katanya.

Terdahulu, sehari selepas diumumkan sebagai calon BN pada Sabtu, bapa kepada Syed Hussien ditidurkan dan berita itu dimaklumkan sendiri beliau menerusi Facebook peribadinya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.