Wanita UMNO Komited Menangkan Calon BN Bagi PRK DUN Mahkota – Rosni Sohar

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Wanita UMNO Malaysia menerima keputusan pucuk pimpinan parti untuk menamakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, 28 September ini seperti yang diumumkan oleh Pengarah PRK DUN Mahkota yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar berkata, walaupun calon yang dinamakan oleh Wanita UMNO tidak terpilih untuk mewakili BN, namun Wanita UMNO Malaysia di bawah pimpinan Ketua Wanita UMNO Malaysia,Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, akan sentiasa komited dan bekerja dengan gigih dalam memenangkan calon BN.

“DUN Mahkota sebelum ini merupakan kerusi Wanita yang diwakili oleh penyandang terdahulu, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain. Atas dasar itu, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah menghantar tiga orang nama calon Wanita UMNO seperti yang diminta.Beliau juga telah memperjuangkan supaya calon daripada Wanita UMNO dipilih untuk mewakili BN sehingga ke minit-minit terakhir.

“Wanita UMNO percaya bahawa keputusan yang dibuat oleh Presiden UMNO,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan  Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengambil kira segenap aspek. Walaupun Wanita UMNO sedih calon wanita tidak terpilih namun kita redha dan akur selain sentiasa bersedia dalam memastikan calon BN menang di DUN Mahkota. Malahan, persiapan Jentera Wanita UMNO Johor juga telah lama bermula sebelum penguguman calon hari ini dan pastinya akan all-out dalam menghadapi PRK ini.

“Saya menyeru agar Wanita UMNO terus bekerja kuat dalam memastikan kemenangan BN di PRK DUN Mahkota. Kemenangan ini adalah penting demi maruah parti. Kemengan BN di DUN Mahkota adalah demi maruah kita bersama,” katanya.

Terdahulu,kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 5,166 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac 2022.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.