PRK DUN Mahkota: Syed Hussien ikrar teruskan legasi Allahyarham Sharifah Azizah

KLUANG, 8 Sept – Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah berikrar meneruskan legasi ditinggalkan Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain selaku bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota.

Syed Hussien, 40, yang diumumkan sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berkata selaku orang parti, beliau mahu meneruskan apa sahaja yang dibuat Allahyarham di kawasan itu.

“Allahyarham meninggalkan banyak jasa di DUN Mahkota dan atas sebab itu, saya selaku orang parti akan meneruskan apa sahaja yang dibuat olehnya.

“Insya-Allah saya akan cuba buat yang terbaik, itu sahaja buat masa ini,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN pada PRK DUN Mahkota semalam.

Pengumuman dibuat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Syed Hussein memiliki kelulusan dalam bidang perniagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta berpengalaman lebih 10 tahun berkhidmat bersama UMNO.

Ahli Majlis Perbandaran Kluang (Zon Seri Impian) itu juga pernah dilantik sebagai Ketua Pemuda Cawangan Kampung Palembang Lama antara 2013 sehingga 2022.

Bapa dua anak itu menjadi taruhan BN selepas Sharifah Azizah meninggal dunia akibat pendarahan dalaman pada 2 Ogos lalu.

Pada PRN Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH), selepas menang dengan majoriti 5,166 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September ini.

Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini hingga 2 Ogos lalu, DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Dari segi komposisi kaum, DUN Mahkota terdiri 56 peratus pengundi Melayu, diikuti 34 peratus pengundi Cina, India, (lapan peratus) dan lain-lain (dua peratus). – BHOnline

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.