PRK Mahkota Medan Jentera Kerajaan Perpaduan Buktikan Solidariti – Ahmad Zahid

KLUANG, 7 Sept – Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bakal menjadi medan untuk jentera Kerajaan Perpaduan membuktikan kesatuan dan solidariti.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat 17 nama telah dikemukakan untuk mewakili UMNO/BN pada PRK Mahkota ini.

KLUANG, 7 Sept — Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (lima, kanan) bersama Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang juga Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, (empat, kiri) mengangkat tangan Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Negeri N.29 Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah (lima, kiri) pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Negeri N.29 Mahkota di Command Center BN hari ini.

“Alhamdulilah kita telah meneliti ucapan Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Datuk Jais Sardy dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Kita dapati kedua2 mempunyai synchronisation. Tentunya kita menghormati bahawa Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad juga telah mengemukakan calon-calon yang terdiri daripada tokoh-tokoh Wanita UMNO. Onn Hafiz mengemukakan tujuh calon. Kesemuanya ada 17 orang calon.

“Kami mengambil tanggungjawab bersama kerana calon ini mewakili BN untuk Kerajaan Perpaduan. Ketika PRK Pulai dan Simpang Jeram, kita tidak bertanding maka mereka mewakili kita untuk Kerajaan Perpaduan.

“Akhirnya kerana pertolongan UMNO/BN, mereka menang dengan cemerlang. Kini mereka memperlihatkan komitmen untuk menyokong calon kita yang akan mewakili BN dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN sempena PRK DUN Mahkota.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kemenangan PRK DUN Nenggiri telah memberi semangat baharu kepada jentera dan ahli parti.

“Saya lihat semangat hari ini sama dengan PRK Tanjung Piai. Kita telah menang dengan majoriti 15,000 maka semangat ini yang kita sedang bangunkan di Mahkota ini kerana komposisi pengundinya lebih kurang sama. Inilah gambaran terbaik dan Insya-Allah kerana Onn Hafiz pengarahnya, menang PRK ini, menangnya maruah beliau di Johor ini.

“Datuk Jais sudah tentunya tidak mahu melihat majoriti kurang daripada yang lalu. Saya dapat laporan jentera yang terbaik datangnya dari UMNO Bahagian Kluang. Saya juga kagum kerana di bawah Onn Hafiz, semua kepimpinan telah berada dari minggu lepas untuk membantu calon kita. Begitu juga dengan negeri-negeri angkat. Insya-Allah mereka akan bersama-sama kita.

“Apa yang lebih penting kemenangan di Nenggiri telah beri semangat baharu. Mereka telah membuktikan bahawa Kelantan itu bukan negeri kita. Tetapi komitmen diperlihatkan membuktikan bahawa kawasan kalah pun kita boleh menang dengan cemerlang,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa semua jentera akan bergerak dengan baik sepanjang tempoh berkempen kelak.

“Daripada 7 September ke 14 September kita ada tujuh hari. Ambillah masa tujuh hari ini untuk memujuk. Kita tidak mahu ia menimbulkan masalah selepas pengumuman calon. Bagaimana berlaku di Nenggiri, ia jadi formula cukup baik.

“Kita mempunyai keyakinan jentera MCA akan digerakkan dengan cukup baik. Kita juga telah memberikan esaimen kepada MIC untuk santuni pengundi Cina. Kita tidak lupa rakan-rakan Kerajaan Perpaduan kerana ini pertama kali kita kombinasikan dalam satu pasukan iaitu pasukan jentera Kerajaan Perpaduan untuk PRK DUN Mahkota.

“Kemenangan ini amat signifikan. Kalau berlaku mana-mana PRK lain, formula ini akan kita gunakan. Saya yakin di Mahkota inilah semua jentera Kerajaan Perpaduan buktikan solidariti. Ini bukan hanya jentera BN tetapi jentera Kerajaan Perpaduan untuk kita tentukan pada PRU ke-16… formula ini jugalah yang akan kita gunakan supaya kita terus menjadi Kerajaan,” katanya lagi.

Pada Sabtu, UMNO Online melaporkan Syed Hussien Syed Abdullah diumum sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN yang berlangsung di sini, hari ini.

Turut hadir bersama ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dan kepimpinan lain. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.