PRK Mahkota: Mari Bersama Gembleng Tenaga Pastikan Kemenangan BN – Onn Hafiz

KLUANG, 7 Sept – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru seluruh jentera untuk bersama menggembleng tenaga bagi memastikan UMNO/Barisan Nasional (BN) peroleh kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perbubungan UMNO Johor merangkap Pengarah Pilihan Raya berkata, beliau teruja dengan semangat ditunjukkan oleh para jentera yang hadir pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN sempena PRK DUN Mahkota.

“Saya teruja apabila melihat beribu jentera hadir pada petang ini untuk memberi semangat kepada BN. Kita tidak keseorangan. Saya bersyukur apabila Pengerusi BN telah juga mengarahkan negeri-negeri angkat untuk hadir bersama membantu jentera kita di sini.

“Jentera dari Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah, Perak malah dari seluruh negara dan saya difahamkan jentera-jentera yang baru habis PRK Nenggiri iaitu rakan-rakan daripada Kelantan juga hadir pada hari ini.

“Kita juga dalam landskap yang baharu dihadiri jentera-jentera daripada Pakatan Harapan (PH). Sama juga dengan jentera-jentera bahagian turun beramai-ramai sejak Ogos lagi untuk membantu. Sama-sama kita gembleng tenaga, pastikan kemenangan pada 28 September ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan sebentar tadi.

Menurutnya, beliau telah bertemu dengan semua calon yang disenarai pendek dan berjanji untuk setia berjuang meskipun tidak berjaya menjadi calon pada PRK DUN Mahkota ini.

“Saya telah bertemu dengan semua calon; jika terpilih, mereka kata Alhamdulillah … jika tidak (terpilih), mereka akan setia berjuang habis-habisan bagi BN menang di sini, katanya.

“Kepada semua jentera, ambil pengajaran dan panduan daripada bakal calon; kalau mereka boleh terima dengan hati terbuka, saya minta jentera juga terima keputusan ini. Berikan sokongan tidak berbelah bahagi, calon ini calon boleh menang,” katanya lagi.

Turut hadir bersama ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dan kepimpinan lain.

Bercakap pada sidang media selepas majlis itu, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, pihaknya berharap lebih 60,000 pengundi DUN Mahkota akan memberi ruang dan peluang kepada Syed Hussien untuk meneruskan legasi penyandang terdahulu, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

“Syed Hussien ini calon berwibawa yang boleh kita ketengahkan daripada banyak calon berkaliber. Kita memilih beliau untuk meneruskan perjuangan dan perkhidmatan Sharifah Azizah.

“Walaupun berusia 40 tahun, seorang calon muda, beliau telah berkhidmat agak lama dalam politik. Saya yakin beliau boleh memastikan BN menang pada 28 Sept ini, kata Onn Hafiz, yang juga pengarah pilihan raya BN bagi PRK Mahkota,” katanya.

PRK itu diadakan susulan kematian Sharifah Azizah, 63, pada 2 Ogos lepas.

Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 14 Sept, manakala pengundian awal pada 24 Sept. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.