Pasca PAU 2024: UMNO Perlu Sentiasa Muhasabah Untuk Terus Kekal Relevan – Haryaty Hamdzah
KUALA LUMPUR, 7 Sept – Pemimpin dan ahli UMNO perlu sentiasa muhasabah diri dalam melaksanakan tugas serta amanah.
Exco Wanita UMNO, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, langkah berkenaan adalah demi memperkasakan kekuatan UMNO agar terus relevan seiring dengan keadaan semasa.
Menurutnya, ahli UMNO perlu berpijak di bumi nyata ketika parti ini melalui proses pemulihannya biar sejauh mana kehebatan dan pencapaian yang dikecapi selama ini.
“Ahli UMNO harus muhasabah diri tentang bagaimana hendak menjadi dan menampilkan sikap yang baik, baiki kelemahan serta memastikan ia kembali mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
“Intipati utama ialah dapatkan sokongan rakyat dan kekal membela kepentingan ahli serta masyarakat. Walaupun ada kejayaan merampas kembali pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini ianya adalah satu permulaan yang manis akan tetapi ahli parti kena terus berusaha lebih kuat bagi hadapi pilihan raya yang akan datang,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Haryaty yang juga Ketua Wanita UMNO Kota Melaka merangkap Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, (HAWA) Melaka harap ahli parti harus melakukan pelbagai aktiviti dan menyantuni pelbagai masyarakat.
“Saya bertuah menjadi Ahli Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) Malaysia, dimana HAWA merupakan platform terbaik yang diilhamkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam merejuvenasi parti ini.
“Kelompok-kelompok badan bukan kerajaan (NGO) dan juga professional adalah fokus HAWA dalam mendekati serta menyantuni rakyat mahupun pengundi di Malaysia ini,” katanya lagi.
Ujarnya, UMNO perlu berubah dan berani membuat perubahan yang perlu diterjemahkan diperingkat atas dibawa hingga ke akar umbi. – UMNO Online