Cadangan Mewajibkan Sijil Halal

1. Kesediaan kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan mewajibkan persijilan Halal untuk restoren dan syarikat pengeluar makanan boleh dilihat daripada beberapa sudut.

2. Sekiranya ia melibatkan pemilikan oleh bukan Islam yang mengusahakan restoren atau syarikat pengeluaran produk makanan selayaknya cadangan tersebut dipertimbangkan kerana ia boleh menghilangkan keraguan orang-orang Islam yang berkunjung ke restoren tersebut atau orang Islam yang membeli produk makanan tersebut.

Malah cadangan mewajibkan itu akan mengelakkan orang Islam tersilap membeli makanan yang mengandungi bahan tidak halal tetapi dijual di pasaran terbuka dan tindakan boleh dikenakan kepada pengusaha.

3. Sekiranya restoren menyediakan makan tidak halal sebaiknya status tidak halal perlu dinotiskan pada tempat yang boleh diketahui oleh pengunjung muslim yang menjadi majoriti rakyat Malaysia

4. Kedua-dua perkara ini bertujuan mengelak insiden orang Islam yang berkunjung ke restoren popular yang tidak mempunyai sijil pengesahan Halal seperti diumumkan oleh Jakim beberapa hari lalu melibatkan enam restoran popular iaitu Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw.

5. Sekiranya melibatkan restoren kepunyaan orang Islam atau syarikt orang Islam, cadangan mewajibkan tidak sesuai kerana seorang muslim asalnya terikat dengan hukum halal haram, suci dan najis dan penyediaan makanan oleh mereka bermula dengan hukum suci tanpa keraguan melainkan dibuktikan sebaliknya.

6. Namun, pengiktirafan sijil halal bagi restoren dan produk keluaran orang Islam menambah nilai keyakinan kepada orang Islam untuk mengunjungi restoren dan memperolehi produk mereka.

7. Dalam masa yang sama, usaha dan keputusan Kerajaan Perpaduan untuk memendekkan lagi tempoh masa proses persijilan Halal kepada 23 hari bekerja sepertimana diumumkan oleh YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri pada 3 Oktober tahun lalu dan usaha mengurangkan lagi kos pengurusan persijilan Halal sangat dialu-alukan bagi memperkasakan lagi industri Halal negara yang sedang diterajui oleh Malaysia di peringkat dunia hari ini.

Sekian

Datuk Wira Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Timbalan Pengerusi, Majlis Ulama UMNO
Sabtu 7 September 2024

https://www.facebook.com/share/p/4MM56RxDWtfDvkzr/?mibextid=oFDknk

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit