Usaha Pemuda UMNO Tingkatkan Kualiti Wakil Rakyat – Shah Zanuriman

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Sejak dari dahulu lagi parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, kata Exco Pemuda UMNO, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan.

Jelasnya, khidmat bakti amat sinonim dengan UMNO kerana berkhidmat adalah salah satu motto parti ini iaitu ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’.

“Kerana itulah kami Pemuda UMNO Malaysia di bawah pimpinan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh telah mencadangkan Jawatankuasa Pemantauan Wakil Rakyat Pemuda bagi memantau prestasi wakil-wakil rakyat BN.

“Saya menyokong penuh usul atau cadangan Dr Akmal kerana mengambil langkah yang tepat bila mana wakil rakyat lebih-lebih wakil rakyat Pemuda haruslah mengikut petunjuk prestasi utama atau KPI. Selain itu ia harus mempunyai aura serta karisma tersendiri bagi membolehkan mereka dicalonkan kembali bagi membawa suara Pemuda dalam jangka masa panjang.

“Dalam era di mana UMNO menghadapi krisis kepercayaan rakyat, amat kritikal untuk UMNO sentiasa memastikan wakil-wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional mengekalkan standard yang tinggi dari segi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Seterusnya kata Shah Zanuriman yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Selangor menjelaskan bahawa FELDA satu masa dahulu merupakan simpanan tetap bagi parti dan mungkin kerana terlalu selesa hinggakan memandang ringan permasalahan di kalangan generasi muda FELDA.

“Suka atau tidak kita perlu terima itu adalah antara penyebab utama kenapa UMNO/BN ditolak oleh majoriti generasi kedua dan ketiga FELDA.

“Apabila Pemuda UMNO mencadangkan diwujudkan jawatankuasa suara Pemuda UMNO FELDA di semua kawasan FELDA. Ia bertujuan untuk menyelesaikan segala permasalahan generasi kedua dan ketiga FELDA terutama dari segi perumahan, tanah, ekonomi, peluang pekerjaan dan sebagainya,” katanya.

Pada masa yang sama Shah Zanuriman menzahirkan penghargaan pada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menerima cadangan-cadangan dari Pemuda UMNO.

“Alhamdulillah, cadangan-cadangan yang dibentangkan masa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 ini diterima oleh perwakilan dan juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Insya-Allah… saya dan rakan-rakan exco akan bersama Dr Akmal dalam memastikan dua ketetapan PAU 2024 yang dibawa oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ini akan dilaksanakan dengan sebaiknya,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.