SG4 Angan-angan Mat Jenin PN Manipulasi Rakyat – Rozabil

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abd Rahman menyifatkan syarikat yang ditubuh melibatkan empat negeri pembangkang iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, SG4 Group Sdn Bhd sebagai angan-angan mat jenin Perikatan Nasional (PN) dalam memanipulasi rakyat.

Jelas beliau ini kerana mereka seakan mahu membuktikan kemampuan mereka mentadbir negeri dan seterusnya negara.

“Wayang ini sebenarnya dah lama hendak digula-gulakan kepada rakyat yang kononnya mereka ini ada kapabiliti untuk membawa masuk pelabur. PN yang mentadbir ke empat-empat negeri ini untuk menunjukkan kepada rakyat mereka ada kemampuan untuk memerintah negara itu saja nak tunjuk.

“Konon walaupun mereka ini negeri pembangkang tapi ini adalah sandiwara Pas untuk menunjukkan kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau turut sama mempersoal strategi diguna pakai untuk menubuhkan SG4 membabitkan keperluan syarikat tersebut selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekiranya ada di antara negeri tersebut tidak lagi berada di bawah pentadbiran mereka.

Menurut Rozabil lagi, khususnya melibatkan kepentingan syarikat tersebut yang hasilnya daripada empat negeri tersebut.

“Kerana kita nak faham apa formula SG4 group ini. Kalau dijadikan sebagai sebuah syarikat yang tidak ada kepentingan kepada negeri bermakna mereka mengambil hasil negeri dan masuk ke dalam perniagaan mereka maknanya itu satu kesalahan.

“Apa metod yang akan digunakan sekiranya dalam pilihan raya yang akan datang mana-mana empat negeri ini jatuh ke tangan parti yang lain. Jadi bagaimana SG4 ini boleh melangsungkan perniagaan mereka?

“PN dan SG4 ini kena fikir panjanglah sebelum tubuhkan syarikat ini. Kalau tak mungkin selepas ini saham ini akan dipindah milik kepada mana-mana pihak sekiranya negeri ini jatuh kepada parti yang lain.

“Namun saya tak nampak ada kesesuaian untuk SG4 ditubuhkan semata-mata untuk membuat perniagaan dengan menggunakan hasil daripada negeri-negeri yang berkaitan,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut sama mempersoal kompetensi SG4 Group Sdn Bhd yang dikatakan sudah menerima komitmen pelaburan daripada beberapa negara luar, sedangkan negeri yang ditadbir mereka tidak mendapat pencapaian yang membanggakan.

Menurut Rozabil ia berlaku seperti mana Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang memaklumkan pelaburan berbilion ringgit namun masih tidak menampakkan hasil.

“Cumanya keyakinan daripada pelabur itu merupakan satu tanda tanya seperti di Perlis, Menteri Besar sebut soal pelaburan berbilion ringgit ini dah hampir dua tahun tapi tak nampak lagi pun syarikat daripada luar yang masuk melabur di Perlis.

“Namun yang diwar-warkan oleh kerajaan negeri adalah pelaburan infrastruktur yang diberi oleh kerajaan pusat. Sebagai contoh dalam Dewan Undangan Negeri baru-baru ini apabila Menteri Besar, menyatakan yang ada pelaburan berbilion-bilion ringgit masuk ke Perlis.

“Tetapi kesemuanya itu adalah pelaburan infrastruktur daripada kerajaan Pusat. Sebagai contoh, RM100 juta lebih kos pembinaan UniKL di Cuping. Itu bukannya pelaburan ekonomi, itu adalah pelaburan infrastruktur yang dibuat oleh kerajaan Pusat.

“Jadi saya boleh cakap bagi pihak Perlis sebab tak nampak akan ada pelabur-pelabur daripada Korea dan sebagainya kerana tidak ada kekuatan ekonomi,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.