PRK Mahkota: Ahmad Maslan Seru Kuasai Media Sosial, Tawan Hati Pengundi

JOHOR BAHRU, 6 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyeru seluruh jentera parti menguasai media sosial untuk memudahkan gerak kerja menawan hati pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Menurutnya, komunikasi yang berkesan termasuklah penguasaan pelbagai platform media sosial akan memudahkan UMNO/Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan.

“Kita akan menghadapi PRK DUN Mahkota tidak lama lagi. Untuk memperoleh kemenangan sudah semestinya kita memerlukan formula-formula utuh bagi membina kepercayaan rakyat terhadap UMNO/BN.

“Kalau kita nak menang pada PRK Mahkota, kita perlulah menggunakan formula-formula untuk menyampaikan komunikasi berkesan. Komunikasi yang berkesan ini amat penting terutamanya dalam kita menepis segala fitnah ditaburkan oleh pihak lawan.

Nak menang pada PRK Mahkota ini kita perlukan formula ‘ABCDE’. A untuk aktiviti. B untuk berpadu. C ialah calon manakala D data dan E untuk emosi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Perasmian Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Malaysia Negeri Johor, di sini, pagi tadi.

Turut hadir Setiausaha Penerangan UMNO, Datuk Suraya Yaacob, Timbalan Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Datuk Abdul Aziz Sapian.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 27 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.