Khaled Nordin Hargai Peranan Dan Tumpu Soal Kesejahteraan Veteran ATM
KUALA LUMPUR, 6 Sept – Selain soal kesiagaan aset, Kementerian Pertahanan memberi tumpuan soal kesejahteraan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang merupakan sebahagian daripada ekosistem pertahanan negara.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersyukur kerana berpeluang bertemu kepimpinan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kluang dalam satu sesi ramah mesra, hari ini.
“Ia membuka ruang perbincangan, termasuk berkenaan inisiatif mahupun program yang dilaksanakan oleh kementerian. Cukup penting kedua-dua entiti ini melihat bagaimana hubungan sedia ada terus dimanfaat dan dikembangkan.
“Keamanan dan kestabilan yang dinikmati hari ini adalah hasil sumbangan para veteran. Sebagai yang lebih arif mengenainya, sudah pastinya menjadi harapan mereka agar keamanan dan kestabilan negara terus terpelihara,” kata Khaled yang juga Naib Presiden UMNO dalam satu catatan di Facebook dan akaun X.
Justeru, bekas Menteri Besar Johor itu menyeru semua rakyat bersama memastikan tanah air ini kekal aman, menjunjung nilai kesederhanaan dan terus berada di landasan yang betul, agar kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua.
Terdahulu di statusnya, Khaled turut berkongsi berkaitan inti pati syarahannya bertajuk Angkatan Sukarela Pelengkap Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) Negara di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim semalam.
Ujarnya, PALAPES memainkan peranan yang cukup penting dalam memastikan pertahanan menyeluruh dan Kementerian Pertahanan memperuntukkan sekitar RM40 juta setiap tahun untuk memastikan kejayaan PALAPES.
Dalam syarahannya, Khaled telah kongsikan tentang beberapa perkara seperti berikut:
Pertama, Kementerian menghargai penyertaan pelajar Universiti Awam (UA) dalam PALAPES, yang sememangnya memenuhi keperluan ATM dan mendukung usaha kerajaan meningkatkan warganegara yang berdisiplin dan patriotik.
Kedua, sekalung penghargaan kepada pentadbir universiti atas komitmen memastikan hasrat negara untuk pasukan simpanan ini dipenuhi. Tanpa komitmen universiti kita, semua ini tidak mungkin berlaku.
Ketiga, pelajar yang menyertai PALAPES diharapkan dapat menyertai ATM atau pasukan simpanan setelah tamatnya universiti. Latihan serta pengetahuan yang diperoleh membolehkan mereka menyumbang secara signifikan. Lebih-lebih kini ancaman tidak hanya tertumpu kepada yang bersifat tradisional.
Seterusnya, atas dasar itu, tambah Khaled, beliau telah umumkan laluan 100 tempat untuk pegawai PALAPES yang ingin menyertai ATM dan mempertimbangkan kemungkinan sebahagian daripada kos Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mereka yang berjaya ditebus oleh kementerian. – UMNO ONLINE