Kenaikan Had Usia Puteri Dilihat Relevan, Selaras Gerak Kerja Pilihan Raya

PULAU PINANG, 6 Sept – Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang merayu agar kepimpinan tertinggi parti yang diterajui Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dapat mempertimbangkan usul yang dibawakan akar umbi Puteri di Persidangan Agung UMNO, baru-baru ini.

Ketuanya, Ameera Nadia Mohd Shafiee berpandangan usul yang dibawa Puteri dilihat relevan dan bersesuaian dengan gerak kerja pilihan raya dalam konteks menyantuni pengundi wanita 40 tahun dan ke bawah.

“Adalah tidak berasas sekiranya had usia tidak dinaikkan, maka gerak kerja pilihan raya juga perlu diubah dan keutamaan perlu diberikan kepada jagaan pengundi wanita muda dari usia 18-35 tahun sahaja.

“Selain itu, Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang juga berpendapat, memandangkan kedua-dua sayap parti, Pemuda dan Puteri berkongsi kumpulan sasar yang sama, bukankah lebih baik sekiranya had usia keahlian juga diseragamkan? Sama ada had usia Puteri dinaikkan kepada 40 tahun atau Pemuda diturunkan kepada 35 tahun,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Jelas Ameera Nadia lagi, isu had usia yang sudah dibawa dari beberapa penggal lepas selepas penubuhan Puteri bukan soal ingin mengekalkan kuasa atau jawatan dalam parti, tetapi ia adalah soal kelangsungan pelapis kepimpinan dalam sayap Puteri.

Justeru katanya, Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang berharap agar pucuk pimpinan parti boleh mempertimbangkan usul yang dibawa dalam usaha memperkasakan sayap Puteri, seterusnya melancarkan gerak kerja Puteri dalam siri pilihan raya yang akan datang. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit