Dr Asyraf ‘Terjah’ Pengurusan Penyediaan Makanan MRSM, Soal Keselamatan Pelajar Jadi Keutamaan
KUALA LUMPUR, 6 Sept – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bukan sahaja melahirkan rasa kecewa malah turut mengambil jaminan untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha Dewan Selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping berhubung penyediaan makanan terhadap para pelajar di institusi berkenaan.
Menerusi perkongsian di Facebooknya yang turut tular perbualannya dengan kontraktor yang menguruskan penyediaan makanan berkenaan, Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata soal keselamatan apatah lagi melibatkan keracunan makanan akan diambil perhatian serius.
Antara perbualan yang yang turut mencetuskan kemarahan netizen adalah bagaimana jawapan kontraktor berkenaan terhadap Dr Asyraf apabila diajukan berkaitan kebersihan termasuklah najis cicak yang tidak dibersihkan.
“’Kita boleh tahan ke kalau cicak nak berak’ jawab kontraktor Dewan Selera MRSM Taiping dengan bongkak bila saya tanya kenapa dapur kotor dengan tahi cicak dan tidak dibersihkan.
“Memang confirm akan saya ambil tindakan tegas termasuk memberhentikan kontrak dan tindakan mahkamah pada kontraktor yang ambil sikap sambil lewa hingga mencetuskan risiko kesihatan kepada anak-anak pelajar,” katanya.
Dalam pada itu netizen turut melontarkan pelbagai pandangan termasuklah sikap yang diambil oleh pengusaha Dewan Makanan institusi tersebut.
Antaranya yang menggunakan nama Ahmad Albab memuji langkah yang diambil oleh Pengerusi MARA berkenaan yang turun padang ‘terjah’ bagi melihat sendiri apa yang berlaku.
“Terbaik doc. Laksanakan terus. Perkara ini jika tidak dilakukan dengan segera ia akan menjadi masalah yang besar,” ujarnya.
Asyraf dalam jawapan balas kepada netizen memaklumkan akan mengambil tindakan tegas menerusi tindakan perundangan.
“Memang akan terminate. No compromise! Bahkan saya dah arahkan Bahagian Undang-Undang MARA untuk ambil tindakan perundangan,” tambahnya. – UMNO Online