Bantu UMNO Di Mana Sahaja Melalui Media Sosial – Suraya

JOHOR BHARU, 6 Sept – Setiausaha Penerangan UMNO, Datuk Suraya Yaacob memaklumkan bahawa penggunaan media sosial akan membolehkan jentera bergerak di mana-mana sahaja bagi membantu kepada kemenangan untuk parti dalam pelbagai lapangan.

Katanya, dalam mendepani pilihan raya semua perkara boleh dilakukan khususnya dengan mengaplikasi media sosial secara berkesan.

“Penggunaan media sosial boleh dilakukan di mana-mana sahaja maka ia juga perlu dilaksanakan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota kerana ia dapat diaplikasi dalam semua perkara.

“Media sosial bukan sahaja dalam politik tetapi dalam lapangan lain juga sama ada suri rumah atau ahli perniagaan sekalipun. Ini sangat penting iaitu bagaimana algoritma pengguna media sosial, algoritma pengundi, algoritma dalam kalangan masyarakat dapat dinilai,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Negeri Johor yang diadakan sempena menjelangnya PRK DUN Mahkota akhir bulan ini.

Terang Suraya, Penerangan UMNO Malaysia telah menjelajah beberapa negeri di seluruh Malaysia bagi memastikan aplikasi penggunaan media sosial dilaksana secara maksimum.

“Siri Jelajah Penerangan UMNO telah digerakkan dan ada lagi bahagian-bahagian lain akan disusuli. Pelaksanaan kursus ini sememangnya telah dirancang sejak awal namun kebetulan ada PRK DUN Mahkota akan diadakan, maka ia dilakukan dengan modul yang berbeza.”

Dalam masa yang sama beliau merakamkan penghargaan kepada peserta yang telah memberikan komitmen untuk bersama-sama dalam kursus tersebut.

Kursus yang berlangsung selama dua hari ini telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dengan dihadiri oleh ketua-ketua penerangan bahagian Negeri Johor dan acara penutupnya akan disempurnakan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Kursus Pengukuhan Penerangan UMNO Malaysia adalah hasil idea Azalina dalam memastikan anggota penerangan parti selaku jentera hadapan UMNO sentiasa siap siaga mendepani cabaran khususnya dalam arus teknologi semasa. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.