World Skills France 2024: Malaysia Sasar Tiga Pingat
BANGI, 5 Sept – Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya tiga pingat pada Wordskills Competition 2024 (WSC) Lyon di Perancis bermula 9 September ini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, menjelaskan peserta yang terbabit adalah belia dan akan membawa negara ini ke persada dunia terutamanya sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).
“Semua peserta ini adalah belia mahir negara yang terpilih untuk membawa nama Malaysia ke satu tahap yang tinggi di persada dunia dalam sektor TVET khususnya.
“Besarlah harapan saya dan seluruh rakyat Malaysia agar peserta negara akan mempersembahkan kemahiran yang terbaik bagi mendapatkan pingat emas pertama untuk negara,” katanya ketika menyampaikan motivasi kepada peserta Wordskills Competition 2024 Lyon bertempat di Bangi Resort Hotel.
Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis berkata pada pertandingan Worldskills kali ini, Malaysia akan diwakili oleh peserta yang cemerlang di dalam pertandingan peringkat kebangsaan dan serantau iaitu Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2023, WorldSkills ASEAN Singapore 2023 dan WorldSkills Asia Abu Dhabi 2023.
“Mereka adalah terdiri daripada pelajar-pelajar Institusi Latihan Kemahiran serta Institusi Pengajian Tinggi Tempatan yang terdiri daripada Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM).
“Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), GIATMARA Malaysia, Kolej Vokasional, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Akademi Binaan Malaysia (ABM), Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills (KYPAS), dan Sense Perfect International College (SPIC).
“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada peserta-peserta yang telah dipilih bagi mewakili negara ke WSC Lyon 2024. Sesungguhnya anda semua adalah merupakan wira dan wirawati negara yang mempunyai kemahiran cemerlang yang berupaya untuk menaikkan nama Malaysia di persada dunia,” ujarnya – UMNO Online