Rais Harap Rakyat Melaka Jangan Mudah Percaya Berita Khabar Angin

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin menyeru rakyat negeri berkenaan agar tidak mudah terpedaya dengan pelbagai berita serta khabar angin yang bukan sahaja tidak tepat malah menyimpang dari fakta yang sebenarnya.

Kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, isu seperti Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah yang diviralkan oleh pihak tertentu adalah tidak tepat dengan maklumat yang sebenar.

“Selesai sahaja Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) saya bersama barisan Exco mengiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,  untuk lawatan mengejut ke bangunan sementara IPD Melaka Tengah di Batu Berendam.

“YDH ACP Christopher Patit, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah telah melaporkan situasi sebenar berkaitan IPD sementara ini. Alhamdulilah dapat dilihat kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf sedang giat dijalankan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Oleh itu jelas beliau pihaknya  menyeru kepada semua rakyat Negeri Melaka agar jangan mudah terpedaya dan percaya dengan khabar berita yang tidak sahih.

“Insya-Allah… Kerajaan Negeri Melaka sentiasa mengambil perhatian dan peka terhadap apa jua perkara demi manfaat kita bersama,” tambahnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.