Puteri UMNO Negeri Sembilan Sokong Penuh Usul Had Umur 40 Tahun

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan menyokong penuh usul untuk menaikkan had umur sayap tersebut ke 40 yang telah dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 lalu.

Ketuanya, Hazratul Ilani Misdar berkata, kehadiran para perwakilan dan pemerhati sepanjang PAU 2024 berlangsung menunjukkan bahawa UMNO masih menjadi pilihan terutamanya di kalangan anak muda.

“UMNO bangkit. Kehadiran para perwakilan dan pemerhati yang ramai membuktikan UMNO masih menjadi pilihan khususnya untuk golongan muda dan orang Melayu.

“Kejayaan yang sangat signifikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri membuktikan UMNO masih ada dalam denyut nadi orang Melayu.

“Biarpun pelbagai halangan mahupun tohmahan diterima, UMNO masih mampu berdiri dengan kekuatan dan semangat luar biasa ahli serta penyokongnya,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, usul yang dibawa oleh Pergerakan Puteri UMNO ketika persidangan PAU lalu adalah berlandaskan kepada tugas hakiki sayap tersebut kerana mereka perlu menjaga pengundi di bawah umur 40 tahun.

“Alhamdulillah, usul had umur ini telah mendapat perhatian dan sokongan dari Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Had umur merupakan usul wajib di peringkat akar umbi Puteri UMNO dan ia bukanlah satu permintaan yang baru bagi kami, anak muda yang sayangkan parti.

“Justeru, Puteri Negeri Sembilan menyokong penuh usul kenaikan had umur Puteri UMNO (selari dengan tugasan hakiki kami menjaga pengudi wanita dibawah umur 40 tahun).

“Kami turut mendoakan agar usul ini diterima dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) supaya kita semua dapat melihat Pergerakan Puteri UMNO mencipta kejayaan demi kejayaan pada siri pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar UMNO meneruskan segala khidmat bakti dan bekerjasama dengan semua peringkat untuk meneruskan agenda parti.

“UMNO perlu bekerjasama dengan erat, tidak kira di peringkat cawangan, bahagian mahupun pusat. UMNO perlu meneruskan khidmat bakti yang berterusan untuk membantu rakyat.

“Aspirasi perjuangan UMNO tak pernah padam. Kita akan terus tampil dengan nilai kesederhanaan dan sebuah keluarga besar untuk saling menyokong, menyantuni serta saling mendukung.

“Semua ini ada untuk membawa rakyat keluar dari kemiskinan, menjadi bangsa berilmu dan kemudian mencipta kejayaan kepada anak bangsa,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam ucapan penggulungan pada PAU 2024, Ahmad Zahid berkata, beliau akan membawa perkara itu ke mesyuarat MKT untuk diteliti dan diputuskan.

Usul menaikkan had umur keahlian Puteri sehingga 40 tahun menjadi antara perkara utama dibahaskan perwakilan Puteri UMNO pada PAU 2024 kali ini yang berharap ia diluluskan segera. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit