Pentingnya Beri Tumpuan Terhadap Keselamatan Dalam Talian, Lindungi Rakyat Dari Ancaman Digital
KUALA LUMPUR, 5 Sept – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan betapa pentingnya kita sebagai sebuah negara untuk memberi tumpuan kepada keselamatan dalam talian khususnya dalam melindungi anak-anak dan golongan muda yang sering menjadi sasaran kepada pelbagai bentuk ancaman digital.
Ujar Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, generasi muda pada hari ini membesar dalam dunia yang tanpa sempadan di mana kehidupan sosial, pendidikan dan hiburan mereka berkait rapat dengan platform digital.
“Ini telah membuka pintu kepada risiko yang tidak pernah dihadapi oleh generasi sebelumnya termasuklah buli siber, pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai dan pelbagai lagi jenayah dalam talian yang lain.
“Sebagai Pengerusi Majlis Sosial Negara, saya amat komited dalam menangani isu-isu ini. Kami di Majlis Sosial Negara sentiasa berusaha untuk memupuk nilai-nilai murni dan membina keupayaan manusia dalam mempromosikan perpaduan sosial serta kesejahteraan rakyat Malaysia,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook dan akaun X.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Dengan Ancaman Dalam Talian 2024 di Kuala Lumpur Convention Centre di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Jelasnya, persidangan ini merupakan satu platform penting untuk membincangkan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam era digital, terutama dalam usaha melindungi masyarakat daripada ancaman dalam talian.
Tambahnya lagi, dalam dunia digital yang semakin kompleks ini, usaha-usaha ini menjadi semakin penting.
“Selain itu, saya juga menegaskan bahawa keselamatan dalam talian bukan hanya tentang melindungi golongan muda, tetapi juga memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia terpelihara.
“Kita perlu memperkukuhkan keselamatan siber, meningkatkan literasi digital dan memastikan akauntabiliti bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam dunia digital,” katanya.
Justeru katanya, Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian yang dicadangkan serta inisiatif-inisiatif berkaitan adalah langkah penting ke arah mewujudkan ruang digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
“Saya yakin, kita mampu melindungi masyarakat kita daripada bahaya dalam talian serta memastikan teknologi digunakan dengan cara yang bertanggungjawab dan beretika sekiranya semua pihak memainkan peranannya,” ujarnya. – UMNO ONLINE