Malaysia Akan Perkenalkan Akta Baharu Tangani Jenayah Siber – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Malaysia sedang bersedia memperkenalkan akta baharu yang bertujuan menangani jenayah siber dan jenayah-jenayah lain yang dilakukan di atas talian.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata akta ini adalah penting dalam melindungi rakyat Malaysia daripada pelbagai ancaman siber yang semakin meningkat.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said kerana mengambil inisiatif dan berada di garisan hadapan untuk menjadikan akta baharu ini bagi kepentingan rakyat Malaysia. Ia meliputi semua lapisan masyarakat termasuk anak-anak di peringkat umur muda yang menggunakan internet sebagai tools atau medium communications.

“Kita merasa sangat prihatin terhadap mangsa buli, scam dan akta ini akan melihat beberapa aspek dari segi jenayah yang mungkin tidak berlaku sekarang tetapi ada perkara-perkara tertentu yang mengunjurkan, yang akan berlaku dalam dekad-dekad mendatang.

“Akta ini akan didraf sepenuhnya oleh Peguam Negara, chambers dan akan dibawa ke kabinet untuk pengurusan sepenuhnya sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya selepas merasmikan International Legal Conference on Online Harms 2024 di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said serta peserta-peserta tersebut.

Dalam perkembangan semasa, Ahmad Zahid turut mengulas mengenai penubuhan syarikat kerjasama empat buah negeri iaitu SG4 Sdn Bhd yang terdiri daripada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Saya melihat bahawa SG4 Sdn Bhd yang ditubuhkan ini mempunyai maksud yang baik. Namun kita tahu bahawa harga REE (unsur nadir bumi) di pasaran dunia kini telah merosot sebanyak 70 peratus.

“Ini disebabkan oleh dumping atau lambakan REE di pasaran dunia dengan pengeluaran stokpile negara tertentu. Walaupun harganya turun 70 peratus pada harga asal namun potensinya cukup besar dan empat negeri ini mempunyai strategi tersendiri tetapi masih tertakluk kepada cukai dan eko sistem yang telah ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan bagi tujuan eksport,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.