Isu Bekalan Air Di Sabah Perlu Diselesaikan Segera – Awang Aslee

BEAUFORT, 5 Sept – Masalah infrastruktur khususnya membabitkan bekalan air yang masih berlarutan di Sabah sehingga menjejaskan pelbagai aktiviti harian masyarakat perlu diatasi dengan kadar yang segera.

Pengerusi Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti UMNO Sabah, Datuk Awang Aslee Lakat menegaskan bahawa langkah proaktif perlu dilaksanakan dengan kadar yang segera lantaran isu terbabit semakin meruncing dari semasa ke semasa.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Beaufort mahukan kerajaan Negeri Sabah mengambil langkah terbaik bagi memastikan rakyat di seluruh negara mendapat kemudahan serta dapat hidup dengan sejahtera.

“Saya meminta kerajaan negeri mengambil tindakan yang lebih mampan dan efisyen bagi menjamin bakalan air bersih di negari ini dapat di agihkan kepada rakyat di seluruh negeri ini tanpa sebarang ganguan.

“Jangan biarkan masalah air ini menjadi bebanan kepada anak-anak kita yang ingin mendapatkan pembelajaran di sekolah-sekolah seperti yang berlaku di daerah Sipitang, Beaufort, Putatan serta kawasan-kawasan lain di Sabah,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan akhbar tempatan berikutan terdapat catuan air sejak awal tahun ini yang memberi kesan terutamanya kepada pelajar sekolah.

Laporan memetik bahawa sekolah kebangsaan dan sekolah menengah Padang Berempah, Sipitang terpaksa menyimpan air hujan untuk membekalkan keperluan pelajar sejak beberapa bulan lalu.

Tegas Awang Aslee lagi, keadaan sedemikan tidak sewajarnya berlaku apatah lagi dalam suasana rakyat meraikan bulan kemerdekaan yang ke-67 tahun. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.