UMNO Cakna Isu Rakyat, Fokus Felda Diutamakan – Hilmi Elias

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias berkata UMNO sedar bahawa isu-isu yang membelenggu generasi kedua dan ketiga Felda diberi perhatian serius. 

Justeru katanya, Pemuda UMNO bersedia memainkan peranan lebih agresif dalam memastikan masalah-masalah ini diatasi dengan tuntas.

Menurutnya, usul-usul yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 baru-baru ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan parti tetapi juga menunjukkan komitmen untuk bertindak sebagai suara rakyat yang benar-benar memahami dan memperjuangkan isu-isu akar umbi.

“Beberapa usul yang diluluskan jelas memberi bayangan bahawa UMNO sentiasa cakna kepada isu-isu berkaitan rakyat. Permasalahan yang membelenggu generasi kedua dan ketiga Felda harus ditangani secara bersama dan mendapat kerjasama semua pihak.

“Pemuda UMNO mahu memainkan peranan penting dalam memastikan segala permasalahan ini dapat ditangani dan dibawa ke saluran yang sepatutnya.

“Jawatankuasa Suara Pemuda UMNO di semua Felda yang diluluskan di PAU menunjukkan persidangan itu bukan sekadar tempat ahli-ahli UMNO seluruh negara untuk datang beramai-ramai tetapi ada ada fungsinya,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Suara Pemuda UMNO Felda yang akan diketuai Exco Pemuda UMNO, Aznan Tamin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat.

Jawatankuasa itu ditubuhkan sebagai bukti UMNO benar-benar ambil berat tentang anak-anak Felda dan ia akan digerakkan di semua cawangan Pemuda UMNO yang ada di Felda di seluruh negara.

Pada masa yang sama, Mohd Hilmi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Permatang Pauh berkata penubuhan jawatankuasa pemantau wakil rakyat Pemuda adalah bukti bahawa Pemuda UMNO tidak pernah mengambil mudah tanggungjawab dan amanah diberikan.

“Ini bakal menjadi KPI kepada semua wakil rakyat Pemuda sedia ada dan akan menjadi panduan kepada bakal-bakal calon dari kalangan Pemuda UMNO Malaysia.

“Pemuda UMNO tidak mahu dilihat sekadar bercakap tanpa mempunyai bukti. Jawatankuasa ini akan memberikan laporan enam bulan sekali berkaitan pretasi semasa setiap wakil rakyat sedia ada.

“Akhirnya, rakyat akan membuat penilaian sama ada wakil rakyat kawasan mereka dari kalangan Pemuda ini berfungsi atau tidak di kawasan masing-masing,” jelas beliau lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.