‘Tuan Ibrahim Tak Nak Minta MB Kedah Dan MB Perlis Dicutikan?’ – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selepas meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk diberikan cuti.

Sindir beliau, Tuan Ibrahim sepatutnya memberikan pandangan tersebut kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atau Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli untuk bercuti bagi memberi laluan kepada siasatan dibuat sehingga selesai.

“Nak tanya pada Tuan Ibrahim Tuan Man juga, sebelum minta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dicutikan ,tak nak minta MB kedah dan MB perlis dicutikan juga ke?

“Masing-masing pun ada kes yang disiasat dan sedang didakwa di mahkamah, ke kat orang lain boleh tetapi dekat geng sendiri tak boleh?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook bagi menjawab kenyataan Tuan Ibrahim tersebut.

Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin dalam pada itu turut sama mempersoal Tuan Ibrahim sama ada menyokong kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri lalu.

“Satu lagi persoalan kepada Tuan Ibrahim, setuju ke dengan kenyataan Muhyiddin kepada Tuanku Sultan Pahang di PRK Nenggiri yang lepas? Sila jawab persoalan ini dulu,” ujar beliau.

Untuk rekod, Muhammad Sanusi kini berdepan dua tuduhan menghasut dan didakwa di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor serta penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Mohd Shukri pula disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam projek pembangunan di negeri berkenaan.

Manakala Muhyiddin Yassin pula pada Ogos lalu didakwa di mahkamah selepas menghadapi pertuduhan mengikut Akta Hasutan di Mahkamah Gua Musang hari ini, susulan ceramahnya berkait raja, agama dan kaum (3R) dalam kempen PRK DUN Nenggiri. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.