Kemenangan PRK Mahkota Penting, Kesinambungan Kemajuan Bagi Manfaat Rakyat – Azhar

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota perlu memilih calon yang bakal diketengahkan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini bagi meneruskan perkhidmatan yang ditinggalkan oleh penyandang, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, kata Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad.

Menurut beliau ia penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat di DUN tersebut, sekaligus terus mendapat pembelaan daripada kerajaan negeri dan Pusat menerusi pelbagai pembangunan dijalankan bagi manfaat rakyat.

Jelas Azhar, sementelah Johor merupakan negeri lahirnya UMNO sebagai parti keramat yang perjuangannya berpaksikan kepada rakyat.

“Agenda prihatin rakyat yang telah dibuat oleh Allayarhamah boleh diteruskan kerana Johor ini adalah tempat UMNO dilahirkan tentulah rasa cinta, kasih dan sayang kepada UMNO itu mestilah meluak-luak di Johor.

“Saya sangat yakin BN/UMNO dan kerajaan negeri mesti memberi fokus kepada DUN Mahkota ini. Segala keperluan rakyat di situ yang mana belum dipenuhi oleh Allayarhamah saya yakin kerajaan negeri akan tunaikan.

“Malah DUN ini bukan macam kawasan lain kerana ia adalah bandar tentunya keperluan dan bandar adalah permintaan yang berbeza-beza,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara dalam pada itu optimis dengan sokongan rakyat menjelang PRK ini bagi mengekalkan kemenangan UMNO/BN berlandaskan kepada strategi digerakkan oleh kepimpinan tertinggi parti yang diterajui Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malahan kata beliau, kemenangan PRK DUN Nenggiri juga sedikit sebanyak membantu perjalanan kempen parti yang sudah berpengalaman dalam meraih sokongan rakyat.

“Perjalanan di Nenggiri seterusnya ke Mahkota ini adalah perjalanan yang baik momentumnya buat UMNO/BN. Kita mempunyai Presiden yang baik dan dibantu oleh top five. Saya yakin kali ini di DUN Mahkota UMNO/BN akan memperoleh kemenangan.

“Tapi untuk masa kini saya menjangkakan UMNO/BN akan mendapat undi lebih daripada kemenangan kepada sebelum itu. Oleh kerana kita dah ada pengalaman menghadapi PRK. Ini sangat membantu UMNO dan kepimpinan kita.

“Kita ada kepakaran dalam susunan jentera terancang, jentera-jentera yang cukup berpengalaman. Tambahan pula kita menang di Nenggiri dengan pertemuan bersama rakyat malam setiap negeri ada kawasan jagaan,” ujar beliau.

Azhar dalam pada itu optimis dengan sokongan pengundi di kawasan tersebut di tambah pula dengan calon yang bakal diketengahkan UMNO/BN sudah pastinya menepati kehendak rakyat dalam membawa aspirasi mereka di DUN Johor.

“Kita ada pengundi-pengundi tegar, juga kurangkan isu-isu yang boleh menjejaskan keyakinan pengundi kepada BN. Maksudnya pimpinan jangan menjejaskan kepercayaan rakyat dalam kawasan DUN tersebut.

“Hari ini rakyat memilih bukan sekadar parti, rakyat juga memilih siapa sahaja individu yang akan mewakili BN seperti mana di PRK Nenggiri,” ujar beliau.

Terdahulu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH), dengan majoriti 5,166 undi.

Sementara itu BN kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan calon bagi mewakili gabungan itu bertanding pada PRK DUN Mahkota. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.