Jangan Semai Politik Kebencian, Tolak Sentimen ‘Anti Parti Malaya’ – Azuwan

KOTA BELUD, 4 Sept – Sempena bulan kemerdekaan, rakyat di negeri ini diingatkan agar menghayati erti sebenar merdeka demi menyuburkan kembali semangat patriotisme dengan menolak mana-mana pihak yang cuba menyemai politik kebencian.

Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan Norjan berkata, mutakhir ini sudah ada unsur-unsur menanamkan kebencian yang dimainkan beberapa pemimpin politik di negeri ini dengan meniupkan sentimen ‘anti parti Malaya’ yang akan membawa kesan negatif terhadap pembinaan satu negara harmoni dan bersatu padu.

“Saya berharap rakyat di negeri ini tidak akan terpengaruh dengan sentimen ini kerana ianya akan membawa kesan kepada perpecahan yang akhirnya membantutkan usaha membangunkan Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan kemerdekaan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Dewan Masyarakat kampung Pirasan, pada Sabtu.
Hadir sama dalam program ini ialah Pengerusi KRT kampung Pirasan yang juga pengerusi penganjur, Duyuk Tahir.

Kata Azuwan, semangat kemerdekaan ini perlu dizahirkan dalam bentuk perpaduan dan keharmonian yang kukuh demi mengekalkan kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat di negara ini.

“Apabila rakyat dapat menghayati erti sebenar hidup dalam suasana merdeka dan bersatu padu, maka tidak akan ada lagi mana-mana pihak atau kaum tergamak menyebarkan kebencian dan fitnah yang boleh mengganggu-gugat keamanan dan keharmonian yang sudah terjalin erat selama ini,” katanya.

Dalam pada itu Azuwan yang juga Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Belud berharap agar kerajaan berusaha melaksanakan aspirasi ekonomi rakyat di negeri ini dengan melakukan semua perancangan pembangunan terutamanya dalam penyediaan prasarana asas iaitu sistem perhubungan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan peningkatan ekonomi dengan cepat dan tepat.

Katanya,memaknai erti kemerdekaan perlu dilihat dari pelbagai perspektif minda, budaya, bahasa dan ekonomi serta politik keselamatan yang memerlukan kefahaman kritikal serta tindakan yang cepat dan tepat dari pihak kerajaan.

“Kemerdekaan akan lebih bermakna apabila kita dapat menyediakan kemudahan asas yang lebih selesa kepada rakyat dan turut mempertingkatkan taraf sosio-ekonomi mereka iaitu eleman penting untuk membebaskan rakyat dari belenggu kemiskinan,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.