Gesa Ahmad Zahid Bercuti… Pas Tak Sudah-sudah Main Politik – Mohd Zaidy

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir membidas Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang berpendapat bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu diberikan cuti bagi memberi laluan kepada siasatan bebas terhadap dirinya sehingga selesai.

Tegas Mohd Zaidy, dalam keadaan hari ini Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) adalah Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan yang berfungsi dengan baik dan melaksanakan amanah membawa kestabilan kepada negara.

Maka katanya, kenyataan-kenyataan berbaur kepentingan politik kepartian tidak sewajarnya timbul lagi.

“Sudah-sudahlah main politik dan sengaja nak menimbulkan isu yang tidak membawa kepentingan kepada rakyat sedangkan realitinya hari ini Kerajaan Perpaduan yang diamanahkan oleh Yang di-Pertuan Agong melakukan usaha berterusan demi masa depan rakyat dan negara.

“Jika benar pun Tuan Ibrahim berniat baik dan mahukan Datuk Seri Ahmad Zahid bercuti ekoran ada siasatan maka sewajarnya nasihat tersebut diberikan kepada rakan-rakannya dalam Perikatan Nasional (PN) termasuklah Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

“Bukankah mereka ini semua ada terlibat dalam siasatan yang masih belum selesai dan masih dalam pendakwaan di mahkamah, maka nasihat ini pun terpakai untuk semua,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar beliau, sebagai ahli politik mana-mana pihak termasuklah pembangkang sewajarnya bersikap rasional dan tidak bercakap atas kepentingan peribadi atau agenda politik kepartian semata-mata.

“Janganlah bersikap berat sebelah, bila pada pihak lain laju saja nak jatuhkan hukum dan kata itu ini sedangkan dikalangan mereka sendiri ada beberapa individu yang sememangnya lebih layak diberikan nasihat dan diambil tindakan.

“Sekarang ini masa bekerja maka semua pihak termasuklah pembangkang dan Tuan Ibrahim sendiri perlu memainkan peranan untuk bekerja bagi memastikan kelangsungan pembangunan negara dapat dilaksana yang tentunya akan memberi manfaat kepada semua pihak.”

Katanya, rakyat kini mahukan kerajaan yang berfungsi dengan baik dan pentadbiran negara berlangsung lancar tanpa ada lagi krisis politik yang akan merencatkan kesejahteraan.

“Biarpun Datuk Seri Ahmad Zahid adalah Presiden UMNO yang bertentangan ideologi politik dengan mereka namun beliau tidak pernah menafikan apa-apa bantuan dan layanan diberi yang sama rata kerana tugasnya adalah selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),” katanya lagi.

Terdahulu dilaporkan bahawa Ahmad Zahid juga terbuka untuk siasatan dilakukan oleh pihak berwajib mengenai dakwaan menipu dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini berkaitan pembentukan Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.