‘Elok Desak Muhyiddin Bercuti Fokus Selesaikan Kes Rasuah, 3R’ – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berpandangan bahawa sepatutnya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin yang digesa untuk bercuti bagi menyelesaikan kes rasuah dan 3R (raja, agama, bangsa).

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau membidas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa agar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti untuk memberi laluan kepada siasatan terhadap akuan berkanun (SD) dikemukakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

“Mungkin Tuan Ibrahim lupa atau pura-pura tak nampak. Ibarat peribahasa ‘gajah di depan mata tak nampak, kuman di seberang lautan nampak’.

“Eloklah desak Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin bercuti dan fokus selesaikan kes rasuah beliau di mahkamah. Terbaru, beliau didakwa dibawah akta hasutan apabila menghina kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

“Saya juga berpandangan Tuan Ibrahim paling layak menjalankan tugas sebagai Pengerusi PN memandangkan parti Pas adalah ‘abang besar’ dalam gabungan kalian,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Pada Isnin media melaporkan Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat bahawa Ahmad Zahid perlu diberikan cuti bagi memberi laluan kepada siasatan bebas terhadap dirinya sehingga selesai.

Beliau yang mengalu-alukan sikap terbuka Ahmad Zahid untuk disiasat berhubung dakwaan terdapat unsur memperdaya Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika mengemukakan akuan berkanun (SD) bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan bagaimanapun merasakan tidak mungkin seseorang dapat disiasat sepenuhnya ketika masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Walaubagaimanapun, Ahmad Zahid terbuka untuk siasatan dilakukan oleh pihak berwajib mengenai tuduhan tersebut. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit