Puteri UMNO Pahang Sambut Baik Usul Had Umur 40 Tahun
KUALA LUMPUR, 3 Sept – Pergerakan Puteri UMNO Pahang menyambut baik usul agar had umur sayap tersebut dinaikkan ke 40 tahun.
Ketuanya, Nurul Aslina Saman berkata, usul tersebut dibawa kerana Pergerakan Pemuda dan Puteri kini berkongsi kumpulan sasar yang sama terutamanya pada musim pilihan raya.
“Dalam UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri berkongsi kumpulan sasar yang sama iaitu anak muda serta pengundi 40 tahun dan ke bawah. Usia ahli Pemuda ialah 40 tahun manakala usia ahli Puteri 35 tahun. Jelas dan nyata wujud ketidakseimbangan umur gender.
“Sekiranya mahu berlaku adil, maka naikkanlah umur Puteri juga ke 40 tahun atau jika masih mahu kekalkan Puteri pada had 35 tahun, bersediakah Pemuda untuk menurunkan had umur dari 40 kepada 35? Jangan wujudkan diskriminasi gender. Dari sudut gerak kerja pilihan raya dalam konteks mendekati dan mendampingi pengundi muda (40 tahun dan ke bawah), semuanya diserahkan kepada Pemuda serta Puteri.
“Secara logiknya, bagaimana Puteri mahu menjalankan gerak kerja pilihan raya sedangkan umur dalam parti pun tersekat di 35? Jurang lima tahun antara 35 hingga 40 ini tanggungjawab siapa? Jika masih 35, maka gerak kerja pilihan raya juga perlu berubah, Puteri fokus kepada pengundi wanita 35 tahun dan ke bawah,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, kepelbagaian turut menjadi faktor penting untuk sayap tersebut menarik minat pengundi yang terdiri daripada anak muda.
“Kestabilan wanita muda (dari sudut kerjaya dan rumahtangga) kebanyakannya bermula sekitar umur 32 tahun. Baru nak aktif dalam politik Puteri, dah tamat tempoh. Bukan mereka tidak mahu aktif tetapi peluang tidak cukup lama. Lantai politik, citarasa, gerak kerja antara Puteri dan Wanita berbeza.
“Bukankah lebih elok jika wujud kepelbagaian dalam parti sebab hakikatnya minat setiap individu itu tidak sama? Ini antara faktor penting untuk parti menarik sokongan pengundi.
“Ada yang mencadangkan daripada umur dinaikkan kepada 40, lebih bagus jika diturunkan dari 18 tahun kepada 16 tahun. Seingat saya, isu berkaitan penurunan ahli UMNO dari 18 kepada 16 tahun telah dibincangkan pada tahun 2018,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau juga beranggapan bahawa usul ini dibawa untuk memastikan kelangsungan gerak kerja dalam menarik sokongan anak muda kepada parti.
“Cukuplah saya memberi empat justifikasi ini. Ini bukan soal mahu bersaing atau mengekalkan kuasa dalam parti, ini soal kelangsungan gerak kerja dan tarikan pengundi kepada parti.
“Setiap komponen parti memerlukan sokongan antara satu sama lain. Bekerjalah bersama-sama untuk memastikan UMNO kembali dominan dalam landskap politik negara,” katanya lagi.
Terdahulu, dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, Ahmad Zahid berkata, beliau akan membawa perkara itu ke mesyuarat MKT untuk diteliti dan diputuskan.
Usul menaikkan had umur keahlian Puteri sehingga 40 tahun menjadi antara perkara utama dibahaskan perwakilan Puteri UMNO pada PAU 2024 kali ini yang berharap ia diluluskan segera. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman