Kesepakatan Berpasukan Teras Kejayaan, Puteri UMNO Sabah Seru Perkukuh Kekeluargaan

PAPAR, 3 Sept – Kestabilan institusi kekeluargaan adalah satu keperluan bukan sahaja mengukuhkan masyarakat untuk membina bangsa tetapi membentuk individu yang akan memimpin kebangkitan sebuah peradaban.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sabah, Ummi Nabilah Jamal berkata ciri-ciri penting dalam institusi keluarga adalah kesepakatan yang turut diaplikasi dalam parti politik khususnya UMNO.

Katanya, institusi kekeluargaan yang stabil adalah ramuan utama bagi kebangkitan peradaban dan unit keluarga memainkan peranan utama menentukan masa kini dan masa depan mana-mana negara.

“Ciri-ciri ini penting dalam institusi keluarga yang diaplikasi parti politik khususnya UMNO adalah memastikan kesepakatan serta semangat kerja berpasukan menjadi teras utama. Ini kerana ia pasti akan membawa kejayaan apatah lagi bagi menghadapi cabaran khususnya untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis Hari Keluarga anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Papar di sini pada Ahad.

Dalam hal ini, beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Papar memaklumkan bahawa sambutan kemerdekaan negara dijadikan untuk mengadakan hari keluarga melibatkan anggota parti sebagai medium memperkukuh semangat kekeluargaan di kalangan ahli.

“Melalui program tersebut ianya akan dapat menanamkan nilai-nilai murni, kasih sayang, kerjasama dan hormat menghormati antara satu sama lain selain menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan masyarakat khususnya anggota parti.”

Program tersebut dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi dan turut dihadiri oleh Naib Ketua UMNO bahagian, Razwan Garin; Ketua Wanita Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian, Hafizi Sulaiman dan Ketua Penerangan UMNO bahagian Papar Hairul Rahman.

Pelbagai acara turut diadakan sempana program tersebut antaranya senam aerobik, sukaneka dan pertandingan melukis Jalur Gemilang untuk peringkat kanak-kanak.– UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.