Fahami Erti Kemerdekaan, Hayati Perjuangan UMNO – Jeffery Nor
PUTATAN, 2 Sept – Rakyat Malaysia khususnya anak muda perlu memahami erti kemerdekaan yang sebenar dengan menjadi rakyat bertanggungjawab, hormat menghormati dan memperkukuh perpaduan nasional.
Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed berkata, sebahagian daripada masyarakat salah faham terhadap makna di sebalik terma kemerdekaan yang dilaungkan dan membuat tafsiran yang berbeza.
Tambahnya, mereka sengaja menyempitkan makna kemerdekaan dengan memberikan tafsiran yang menyimpang daripada hakikat sebenar kemerdekaan buat Malaysia.
“Mereka dengan dangkalnya telah memberikan tafsiran baharu terhadap kemerdekaan iaitu bermaksud bebas daripada segala jenis bentuk undang-undang, bersuara tanpa batasan dan bebas daripada segala prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara sedangkan realitinya kita mempunyai Perlembagaan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-67 di Kampung Meruntum pada Sabtu.
Bagi mencapai kemerdekaan negara, Jeffery berkata, UMNO adalah antara parti yang terlibat secara langsung dalam menuntut kemerdekaan negara dari tangan penjajah.
Menurut beliau hasil dari permuafakatan dan semangat perpaduan di kalangan pemimpin dan rakyat untuk membebaskan negara dari belenggu penjajahan, UMNO memainkan peranan mengisi makna kemerdekaan serta menjadikan negara terus aman makmur sebagaimana yang dikecapi ketika ini.
“Perjuangan tersebut membolehkan rakyat mewarisi kemerdekaan yang membentuk sebuah negara berdaulat, ini adalah hasil dari perjuangan UMNO dan kebijaksanaan para pemimpinnya,” katanya.
Jeffery yang juga Pengarah Jabatan Pilihanraya UMNO Sabah berkata perjuangan yang dilakukan oleh UMNO dalam menunutut kemerdekaan perlu sentiasa diingati dan dihargai oleh rakyat keseluruhan.
“Bagaimana proses mencapai kemerdekaan dan mempertahan kemerdekaan dilaksanakan oleh UMNO serta mendepani pelbagai cabaran.
Sehubungan itu beliau menyeru semua pihak untuk menyemai semangat kecintaan yang menebal kepada negara.
“Hal ini mustahak kerana negara kita didiami oleh rakyat yang mempunyai perbezaan agama, bangsa dan ideologi politik yang tidak sama namun ia sepatutnya tidak dijadikan sebagai suatu halangan kepada usaha untuk memakmurkan negara.
“Kita sedih kerana ada di kalangan pemimpin politik termasuk di negeri ini menjadikan politik untuk meniupkan semangat perkauman, politik kebencian dengan meletakkan kefahaman politik atau parti politik sebagai lebih utama daripada negara,” katanya.
Justeru beliau berharap rakyat di negeri ini menolak golongan yang menjadikan politik sebagai batu loncatan dengan mengapi-apikan sentimen anti parti Malaysia demi untuk menjayakan agenda peribadi mereka.
“Perbuatan golongan ini sudah tentu akan memberikan kesan kepada masyarakat iaitu berpecah belah kerana menumpukan kepada puak masing-masing sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada negara. Kita perlu menyemai semangat perpaduan dan menjaga keharmonian kaum agar terus terjalin erat sebagai eleman penting untuk menjana pembangunan negara,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid