BN Tunai Janji Di Nenggiri, Kemudahan Rakyat Dilaksanakan – Azmawi Fikri

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mampu menarik nafas lega apabila mesin juruwang automatik (ATM) yang telah dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu telah direalisasikan untuk kemudahan mereka.

Azmawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan berkata hasrat Barisan Nasional (BN) adalah untuk memudahkan rakyat dan menepati janjinya pada masyarakat setempat.

“Saya telah menyuarakan perlunya ATM pada pihak berkenaan dan pada hari ini sudah ada tiga mesin ATM untuk memudahkan rakyat di DUN Nenggiri dan BN telah menunaikan janjinya pada PRK lalu.

“Pada PRK DUN Nenggiri lalu, saya telah kemukakan pada Kementerian Kewangan (MOF) dan meminta mesin ini dan kini pihak MOF telah menghantar tiga mesin ATM, insya-Allah akan ditambah menjadi empat mesin ATM lagi.

“Mesin ATM yang pertama adalah di Kampung Jerek, kedua Bertam Baru, ketiga di Rehat dan Rawat (RNR) Rantau Manis, Sungai Asap dan yang keempat akan diletakkan mesin ATM di Jeram Tekoh. Ini adalah untuk kemudahan rakyat DUN Nenggiri bagi mereka mengambil wang,” katanya kepada UMNO Online, di sini. 

Azmawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang menjelaskan mesin ATM ini disediakan untuk kemudahan orang ramai.

“Mesin ATM ini bukan sahaja untuk rakyat DUN Nenggiri tetapi ianya untuk semua yang menggunanya. Ia akan dapat memberikan kemudahan juga kepada perantau yang melalui lebuh raya Gua Musang,” katanya lagi.

Ujarnya, kemudahan tersebut amat dinantikan oleh lebih 30,000 penduduk di sini kerana mereka kini tidak perlu meredah perjalanan sejauh 50 kilometer ke bandar Gua Musang untuk mengeluarkan wang apabila kawasan tersebut sudah dilengkapi dengan ATM.

Malah ujarnya, ada yang perlu menaiki bot sejauh 30 minit semata-mata untuk mendapatkan kemudahan mesin ATM.

Azmawi yang memenangi PRK Dung Nenggiri pada 17 Ogos lalu akan mengangkat sumpah sebagai DUN Nenggiri di Dewan Negeri pada mesyuarat yang akan datang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit