Sambutan Kemerdekaan: UMNO Jadi Tunggak Pastikan Perpaduan Nasional Kekal Utuh – Nurul Aslina
KUALA LUMPUR, 1 Sept – Dalam meraikan sambutan kemerdekaan yang ke-67, UMNO terus menjadi tunggak memastikan perpaduan nasional kekal utuh, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pahang, Nurul Aslina Saman.
Ujarnya, para pemimpin dan ahli perlu terlibat aktif dalam sambutan Hari Kemerdekaan dan melibatkan generasi muda dalam aktiviti bagi menarik minat mereka terhadap semangat patriotik serta parti.
“Pemimpin dan ahli harus aktif terlibat dalam sambutan Hari Kemerdekaan dengan mengadakan aktiviti di peringkat bahagian mahupun cawangan yang menonjolkan semangat patriotisme serta cintakan tanah air.
“Libatkan generasi muda dalam parti dengan cara relevan dan menarik, seperti pertandingan pidato, debat, dan projek komuniti yang menekankan nilai-nilai perjuangan kemerdekaan.
“Sebagai contoh, pidato yang telah dianjurkan oleh Pergerakan Puteri UMNO Malaysia baru-baru ini mendapat sambutan hangat daripada anak muda termasuk bukan ahli UMNO,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, UMNO perlu terus memainkan peranan sebagai penghubung untuk memperkukuhkan keharmonian antara kaum dengan menganjurkan program-program yang memupuk perpaduan.
“Sempena sambutan kemerdekaan, harapan terhadap perjuangan UMNO dalam membela agama, bangsa, dan tanah air adalah amat besar. UMNO terus menjadi tonggak dalam memastikan perpaduan nasional kekal utuh.
“Dalam masyarakat berbilang kaum, UMNO diharapkan dapat terus memainkan peranan sebagai penghubung yang memperkukuhkan keharmonian antara kaum dan memastikan tiada golongan yang terpinggir.
“Sebagai contoh, UMNO boleh menganjurkan program-program yang memupuk perpaduan, menekankan kesederhanaan dan menghormati kepelbagaian budaya serta agama dalam negara,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar UMNO sentiasa berlandaskan Perlembagaan untuk memperjuangkan hak dan kepentingan bumiputera dengan memperkenalkan dasar-dasar yang proaktif.
“UMNO diharapkan terus komited dalam memperjuangkan hak dan kepentingan bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Ini termasuk memperkukuhkan ekonomi bumiputera, meningkatkan taraf pendidikan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik.
“Sebagai contoh, UMNO boleh memperkenalkan dasar-dasar yang proaktif dan inovatif untuk memastikan bumiputera tidak ketinggalan dalam arus pemodenan dan globalisasi. Program pembangunan kapasiti dan modal insan perlu diperkukuhkan untuk mencapai matlamat ini,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman