Pasca-PAU 2024: Misi ‘Merdekakan’ UMNO Dari Kekalahan – Tengku Haphiz

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera beranggapan bahawa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu membawa misi untuk ‘memerdekakan’ UMNO dari belenggu kekalahan.

Ini kerana katanya, kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menjadi semangat untuk ahli dan akar umbi bekerja dengan lebih keras bagi memulihkan sokongan orang Melayu terhadap parti.

“Secara keseluruhan, saya boleh katakan PAU kali ini berkait rapat dengan soal kemerdekaan yang kita akan sambut pada hujung minggu ini. Pertama, UMNO berjaya menarik perhatian pengundi-pengundi semula selepas kita menang di DUN Nenggiri.

“Untuk makluman, Nenggiri ini hampir boleh dikatakan meliputi 90 peratus orang Melayu dan juga bumiputera. Jadi, kita nampak bahawa ini baru saja bermula, bukanlah bermaksud ianya satu titik noktah untuk menyatakan bahawa para pengundi ini telah memberi kepercayaan penuh kepada UMNO/BN. Ini adalah misi untuk kita membebaskan UMNO daripada berlenggu kekalahan,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, seluruh perwakilan turut membawa naratif yang sama iaitu memperjuangkan kemerdekaan Palestine dan juga pembebasan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ada dua lagi perkara yang saya nampak keseluruhan ahli perwakilan inginkan untuk kita (UMNO) terus perjuangkan adalah isu kemerdekaan Palestine, kemudian soal pembebasan dan juga keadilan kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Jadi selain daripada isu politik dan survival politik UMNO, kedua-dua perkara ini adalah perkara yang berkaitan dengan tema kebebasan kita ingin bawakan sempena bulan kemerdekaan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah meletakkan asas bahawa parti perlu membuka lembaran baharu untuk menempuhi cabaran politik masa kini.

“Ucapan dasar Presiden pun ada menyebut soal perlunya UMNO ‘lead’ kepada gerakan rumpun Melayu. Ini adalah asas yang diletakkan beliau bahawa UMNO perlu membuka lembaran baharu untuk bergerak sebagai sebuah parti yang sederhana, membuat kelainan dan perubahan bagi mengembalikan semula sokongan rakyat.

“Paling penting ialah apa sahaja ‘survivor’ politik kita, kita juga perlu memikirkan apa yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Razak dan juga tentang nasib umat Islam di Palestine.

“Ini menampakkan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang bukan sahaja bersifat kasih sayang di antara ahlinya, dalam masa yang sama juga memiliki niat murni untuk memikirkan soal umat Islam di seluruh dunia, khususnya rakyat Palestine,” katanya lagi.

PAU 2024 yang telah melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu mengumpulkan seluruh perwakilan dari 191 bahagian dan berjaya membentuk kesepaduan di antara pemimpin serta akar umbi.

Selepas mengecap kemenangan di PRK Nenggiri, PAU 2024 diwarnai dengan semangat para perwakilan yang menginginkan momentum tersebut diteruskan ke Mahkota yang akan berlangsung pada September. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.