Semai ‘Jiwa Merdeka’, Terapkan Semangat Patriotik Dari Peringkat Awal – Awang Aslee
BEAUFORT, 30 Ogos – Sekolah termasuk tadika turut memainkan peranan penting dalam menerapkan penghayatan terhadap sambutan hari kemerdekaan negara khususnya bagi menghargai perbezaan dan keunikan tersendiri setiap negeri di negara ini.
Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, usaha untuk mendedahkan kepada kanak-kanak tentang erti sebuah kemerdekaan perlu ditekankan pada peringkat awal lagi agar mereka lebih memahami mengenai sejarah dan tujuan sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan setiap tahun.
“Pihak tadika juga berperanan untuk menyampaikan semangat sayangkan negara dengan pelbagai pendekatan dan kaedah bersesuaian peringkat umur mereka. Program yang dilaksanakan ini dibuat secara santai memandangkan topik yang diajar agak berat dan serius,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sambutan Hari Kemerdekaan Tabika/Taska KEMAS peringkat DUN Klias di Kompleks Sukan Beaufort semalam.
Hadir sama Pegawai Kemas Beaufort, Halick Udeh; Penyelia Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kemas Parlimen Beaufort, Helen Lawrence dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Beaufort Juriffaah Safflie.
Menurut Awang Aslee pihak tadika perlu kreatif dengan mengambil pendekatan yang boleh menarik perhatian kanak-kanak iaitu mempelbagaikan program yang sesuai seperti sukan, kebudayaan dan sebagainya agar dapat membentuk semangat patriotik dan kerjasama di kalangan mereka.
Ujarnya, semangat cintakan tanah air perlu disemai dan dibaja semua lapisan masyarakat agar kesinambungan keamanan dan kemakmuran negara dirasai oleh anak cucu pada masa akan datang.
“Banyak yang terpaksa kita lalui untuk mencapai kemerdekaan dan mempertahankannya demi sebuah negara yang kita cintai,” katanya.
Beliau berkata, kebersamaan dan kerjasama rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik menjadi kunci kepada kekuatan negara dan apa yang dimiliki hari ini.
Sehubungan itu, Awang Aslee berharap keamanan serta kemakmuran yang dikecapi akan terus dijaga dan tidak ada lagi pemimpin atau sesiapa sahaja mengambil kesempatan atas kepercayaan rakyat khususnya cuba meniupkan pelbagai sentimen untuk kepentingan sendiri.
“Dalam politik sekarang ada pihak menimbulkan sentiment anti ‘Parti Malaya’ dan pelbagai provokasi untuk memecahbelahkan perpaduan yang sedia ada,” katanya.
Di samping itu, Awang Aslee juga berharap agar rakyat tidak menaip kata-kata nista di laman sosial, malah cuba menarik perhatian dengan melakukan perkara yang ‘hilang adab’ untuk mendapatkan perhatian, mencemarkan keamanan dan kesejahteraan semua.
Sebaliknya kata Awang Aslee lagi, rakyat di negara ini perlu memperkukuhkan perpaduan menghormati Rukun Negara, kebersamaan dan menghormati antara satu sama lain. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid