Rasional Bersama Kerajaan Perpaduan

1. UMNO Bersama Kerajaan Perpaduan

UMNO/Barisan Nasional (BN) yang hanya menang 30 kerusi itu sudah menerima hakikat kekalahan yang berkenaan sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) itu diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pagi 19 November 2022. UMNO/BN juga sudah bersedia untuk berada di barisan pembangkang di Parlimen nanti. Tetapi takdir Allah Yang Maha Berkuasa tidak demikian terjadi.

Allah SWT masih sayang kepada UMNO/BN. Gagasan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak tawaran Yang di-Pertuan (YDP) Agong untuk membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) yang beroleh kemenangan besar. Penolakan itu memaksa UMNO mengambil tempatnya atas arahan titah YDP Agong.

Tan Sri Rais Yatim, bekas Yang di-Pertua Dewan Negara dalam sebuah rencana yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia keluaran Isnin 22 Januari 2024 menyatakan Kerajaan Perpaduan yang ada hari ini adalah lahiran jasa baik YDP Agong yang inginkan satu pentadbiran unggul, saling bekerjasama dan membawa kebahagiaan kepada rakyat. Sayang Pas dan Bersatu menolak Kerajaan Perpaduan ini dan terus menjadi pembangkang sekalipun beroleh 74 kerusi parlimen.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 23 November 2022 secara sebulat suara membuat keputusan untuk menyokong dan menjunjung titah YDP Agong dan menegaskan antara syaratnya pertahankan prinsip Islam, Raja-Raja Melayu dan bangsa Melayu Bumiputera.

2. Keuntungan Bersama Kerajaan Perpaduan

Tidak mudah bagi UMNO/BN menerima Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan YDP Agong, tetapi oleh sebab titah baginda begitu mendesak dan negara sedang menghadapi berlalu beberapa hari tanpa kerajaan, Gagasan PN pula sudah mengumumkan dengan tegas tidak bersedia untuk menerima Kerajaan Perpaduan itu kerana pimpinan mereka Tan Sri Muhyiddin tidak dicadangkan sebagai Perdana Menteri maka akhirnya memaksa UMNO/BN menerimanya dengan syarat-syarat tertentu sebagaimana dinyatakan dalam lampiran.

Setelah melalui beberapa kali perbincangan dan mesyuarat, maka kemudiannya UMNO/BN menerima Kerajaan Perpaduan itu kerana beberapa keuntungan. Antara keuntungan yang berkenaan adalah seperti berikut:

Dari Segi Politik
– UMNO dapat mewakili ahlinya dan partinya dalam kerajaan.
– Keamanan dan kestabilan politik negara dapat memperkukuhkan lagi legitimasi atau keabsahan kerajaan.
– UMNO mempunyai akses dalam kerajaan, khususnya untuk memperkasakan lagi agenda dan kepentingan politik UMNO itu sendiri.
– Dapat memastikan kelangsungan UMNO pada masa depan ketika banyak pihak, termasuk segelintir kalangan pemimpin UMNO sendiri yang sedang berusaha hendak membunuh UMNO.
– Tradisi membela Islam dan Melayu sejak lama dapat diteruskan.

Dari Segi Penjawatan
Walaupun anggota UMNO hanya 26 orang saja, tetapi UMNO diberi jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Timbalan Perdana Menteri Satu diberi kepada Presiden UMNO dan diberi pula tujuh kementerian yang penting dan lima kementerian sebagai Timbalan Menteri iaitu;

1. Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).
2. Kementerian Pertahanan (Dato’ Seri Mohd Khaled Nordin).
3. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Abdul Aziz).
4. Kementerian Pendidikan Tinggi (Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir).
5. Kementerian Luar Negeri (Dato’ Seri Utama Mohammad Hassan).
6. Kementerian Perladangan dan Komoditi (Datuk Seri Johari Abdul Ghani).
7. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri – Undang-Undang dan Reformasi Institusi (Dato’ Seri Azalina Othman).
8. Timbalan Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan).
9. Timbalan Menteri Sumber Manusia (Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad).
10. Timbalan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Haji Nasarah).
11. Timbalan Menteri Luar Negeri (Datuk Mohamad Alamin).
12. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad).

Dap yang mempunyai 40 anggota Parlimen hanya diberi kementerian-kementerian yang kurang penting. Itupun sebanyak empat kementerian saja dan lima kementerian sebagai Timbalan Menteri:
1. Kementerian Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook).
2. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Nga Kor Ming).
3. Kementerian Belia dan Sukan (Hannah Yeoh Tseow Suan).
4. Kementerian Sumber Manusia (Steven Sim Chee Keong).
5. Timbalan Menteri Perladangan Dan Komoditi (Datuk Chan Foong Hin).
6. Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (Liew Chin Tong).
7. Timbalan Menteri Kewangan (Lim Hui Ying).
8. Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri – Undang-Undang dan Reformasi Institusi (M. Kulasegaran A/L V. Murugeson).
9. Timbalan Menteri Pendidikan (Wong Kah Woh).

Selain daripada itu banyak lagi keistimewaan yang diberi kepada UMNO. Antaranya pejabat sekretariat Kerajaan Perpaduan diletak di ibu pejabat UMNO. Ketua pentadbirnya pula diberi kepercayaan kepada Setiausaha Agung UMNO (Dr Asyraf Wajdi Dusuki).

Diberi juga kepada UMNO di negeri Pahang dan negeri Perak jawatan Menteri Besar (MB), walaupun di kedua-dua negeri itu UMNO adalah minoriti.

Di Pahang, UMNO/BN hanya beroleh 17 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 42 kawasan. Pas beroleh 17. UMNO yang minoriti itu diberi sokongan oleh Dap yang menang 6 DUN dan PKR 2 DUN untuk dilantik sebagai Menteri Besar.

Begitu juga apa yang berlaku di Perak. UMNO hanya menang 9 daripada 59 DUN. PN yang beroleh 26 DUN (Pas 17 dan Bersatu 9) tidak dapat dilantik sebagai MB kerana UMNO mendapat sokongan daripada PH sebanyak 24 DUN (Dap 18, PKR 5 dan Amanah 1 DUN).


Oleh: Dato’ Dusuki Ahmad
PENGERUSI MAJLIS ULAMA UMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit