Pasca-PAU 2024: UMNO Tidak Pernah Meninggalkan Perjuangan Bela Melayu-Islam – Dr Azmi

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berpendapat bahawa UMNO tidak pernah meninggalkan perjuangan mereka untuk membela bangsa Melayu dan agama Islam.

Ini kerana katanya, ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 adalah menarik kerana ia menetapkan hala tuju bagaimana untuk parti kembali dominan.

“Bagi saya, paling menarik adalah ucapan dasar Presiden terutama sekali bagaimana untuk menentukan UMNO menjadi dominan pada masa hadapan. Ini kerana mustahil untuk mendapatkan majoriti mudah ataupun dua pertiga kerusi bagi menjadi dominan.

“Jadi faktor kerusi tidak boleh disandarkan untuk menunjukkan UMNO itu dominan. Tapi beliau mengatakan bahawa faktor dengan siapa UMNO bekerjasama bagi menentukan UMNO itu dominan adalah penting.

“Beliau juga mengatakan pada senario sekarang ini, paling banyak kerusi yang boleh diperolehi oleh parti adalah 30 sehingga 40. Jadi, UMNO perlu berusaha sekeras-kerasnya meskipun untuk mencapai jumlah kerusi 112 atau 113 amat mustahil pada realitinya. Namun, saya melihat beliau begitu realistik dalam ucapan dasar tersebut,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, beliau berpendapat bahawa UMNO perlu terus menggunakan suara mereka untuk memperjuangkan Melayu-Islam namun ia perlu dilakukan secara intelek.

“Sama juga dengan ucapan penggulungan Naib-Naib Presiden, UMNO tidak pernah meninggalkan perjuangan membela Melayu-Islam berlandaskan Perlembagaan. Malah kita ambil yang paling kritikal tentang Datuk Seri Najib, ahli UMNO memang boleh memberi tekanan dan harapan supaya Seri Najib dilepaskan, tetapi mestilah mengikut lunas undang-undang. Itu yang pentingnya.

“Saya juga nak ulas tentang ucapan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengatakan bahawa jangan digunakan senjata agama dan bangsa untuk menarik minat orang Melayu. Saya berpendapat sebaliknya. Ini adalah intipati perjuangan UMNO, tetapi ia mestilah berlandaskan Perlembagaan dan dilakukan secara intelek atau pintar.

“Tidak boleh secara semberono lagi kerana masyarakat boleh berfikir pada ketika ini. Jadi, ini yang dikatakan perjuangan UMNO sebenarnya berlandaskan Perlembagaan, bermula daripada era Perikatan lagi. Selepas itu Barisan Nasional (BN) dan sekarang BN-Pakatan Harapan (PH). Memang itu adalah landasnya Perlembagaannya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan momentum kemenangan UMNO/BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan dapat diteruskan ke Mahkota.

“Kemenangan di Nenggiri itu dikatakan mempunyai satu kepuasan dan kebanggaan. Apa yang paling menarik di Nenggiri itu adalah strategi digunakan untuk menarik simpati pengundi, memberi persepsi bahawa UMNO itu boleh diharap dan diperkuat dengan menegah pemimpin parti-parti lain berkempen.

“Sebelum PRK, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengatakan bahawa PAU kali ini hanyalah aktiviti keluarga sahaja. Jadi, kita faham apa maksudnya dan itu memberi satu keyakinan kepada mereka yang sebelum ini dah lari untuk kembali menyokong kerana ada keyakinan UMNO ini boleh diharapkan.

“Jadi, yang baiknya di Nenggiri itu adalah strategi dan saya berharap ia dibawa ke DUN Mahkota pada 28 September ini. Acuannya berlainan tetapi strateginya perlu bersesuaian dengan komposisi di DUN Mahkota itu. Itu harapan saya untuk perjuangan UMNO dan momentum kemenangan Nenggiri dibawa ke DUN Mahkota,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit