Tindakan Mahasiswa United Pertahan Muhyiddin Sia-sia, Cipta Suasana Huru-Hara – Ainool
KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Setiausaha Kerja UMNOSiswa, Ainool Husaini Md Yatim beranggapan bahawa usaha sekumpulan pelajar yang menggelar Mahasiswa United mempertahankan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sia-sia dan mencipta suasana huru-hara.
Tegasnya, tindakan Muhyiddin memfinah Yang di-Pertuan Agong ke-16 merupakan isu serius dalam konteks undang-undang dan beliau perlu menerima hukuman yang setimpal.
“Pertama sekali, adalah penting untuk difahami bahawa isu ini merupakan perkara serius dalam konteks undang-undang dan pihak yang terlibat boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Undang-undang ini dirangka untuk memelihara keutuhan sosial dan keselamatan negara, melangkaui sebarang perbezaan latar belakang sosial dan etnik. Sekiranya pelanggaran undang-undang ini tidak dihukum dengan setimpal, ia berpotensi mengundang lebih banyak percubaan untuk mengganggu-gugat kestabilan masyarakat pada masa hadapan.
“Sejarah politik Malaysia telah menunjukkan bagaimana Tan Sri Muhyiddin Yassin, semasa memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, sering melontarkan kritikan terbuka terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong, termasuk dalam hal pengisytiharan darurat pada tahun 2021,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat berkata, kritikan tersebut telah mempertikai struktur kuasa dan menunjukkan sikap biadap terhadap institusi Diraja.
“Kritikan ini bukan sahaja mempertikaikan struktur kuasa tetapi juga menunjukkan sikap biadap terhadap institusi Diraja yang merupakan lambang kedaulatan negara. Ini membuktikan bahawa ada agenda tersembunyi untuk menentang dan merendahkan kewibawaan institusi yang sepatutnya dihormati serta dipertahankan.
“Dalam konteks ini, desakan UMNOSiswa agar Presiden PPBM didakwa bukan sahaja berasas tetapi amat mendesak. Bagaimana mungkin seorang pemimpin parti Melayu-Islam boleh berani menghina Raja Melayu yang menjadi simbol kedaulatan dan keutuhan negara?
“Di manakah prinsip-prinsip asas PPBM yang kononnya mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kesucian agama Islam jika mereka boleh mencabar institusi ini secara terbuka tanpa rasa malu?” katanya lagi.
Jelasnya, Rukun Negara yang menjadi ideologi kebangsaan dan asas pembinaan negara perlu dipertahankan oleh semua pihak.
“Tindakan Mahasiswa United mempertahankan Presiden PPBM tanpa sebarang asas kukuh adalah usaha sia-sia, hanya akan merosakkan keadaan dan mencipta suasana yang lebih huru-hara. Ini adalah contoh klasik ‘menegakkan benang yang basah’, yang tidak memberikan sebarang manfaat malah hanya memperburuk keadaan.
“Sebagai golongan terpelajar dan pewaris kepemimpinan masa depan, Mahasiswa United seharusnya bertindak lebih tegas dan konstruktif dalam memastikan tiada elemen, sama ada politikus, masyarakat awam atau institusi yang boleh mengancam keharmonian nasional.
“Rukun Negara, sebagai ideologi kebangsaan yang telah menjadi asas pembinaan negara sejak tahun 1970 perlu dipertahankan dan dijunjung tinggi oleh setiap warganegara,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut mengharapkan agar semua pihak memberi ruang sepenuhnya kepada badan autoriti untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi isu ini.
“Nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati dan semangat toleransi adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang bersatu-padu dan harmoni. Nilai-nilai ini perlu dipupuk dan dijaga dengan ketegasan.
“UMNOSiswa menuntut agar semua pihak memberikan ruang yang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan menegakkan keadilan.
“Kami tidak akan berkompromi dengan integriti dan kredibiliti pihak berkuasa dalam melaksanakan tugas mereka; setiap kesalahan mesti diadili dengan adil dan setimpal demi memastikan kesejahteraan serta keharmonian seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Pada Rabu sebuah portal melaporkan Presiden Mahasiswa United, Muhammad Airil Fitri Jalaluddin berkata, kenyataan Presiden UMNOSiswa, Wan Muhammad Zuhir Ghazali seolah-olah dilihat menjadi ‘batu ronson’ dan cuba untuk menimbulkan perasaan kurang senang terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau juga beranggapan bahawa Presiden PPBM seharusnya diberi ruang untuk membela diri di atas tindakannya memfitnah Yang di-Pertuan Agong ke-16 semasa berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri. – UMNO Online